Berita Berita
KPM perhebat persiapan terima dua kohort murid darjah Satu tahun hadapan, 2,596 bilik darjah baharu dibina, 3,150 guru dilantik
KUALA LUMPUR 24 Jun - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempergiat persiapan bagi menghadapi kemasukan dua kohort murid Tahun Satu pada 2027 dengan pembinaan ribuan bilik darjah baharu serta pengambilan guru tambahan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setakat ini KPM menerima 73,386 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027, manakala jumlah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang akan memasuki Tahun Satu adalah seramai 405,033 orang.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan 478,419 permohonan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.07 peratus berbanding enrolmen Tahun Satu 2026 yang hanya melibatkan kohort murid berusia tujuh tahun.
"Justeru, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi persiapan (antaranya) bilik darjah baharu sedang dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular membabitkan 838 sekolah, dan projek-projek ini akan disiapkan pada tahun ini juga," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin mengetahui tahap persiapan KPM bagi menerima kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2027 serta kaedah yang digunakan bagi memastikan guru tidak terbeban dengan pertambahan enrolmen.
Menurut Wong, KPM turut merancang pembinaan sebanyak 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara Contract of Service (COS) berdasarkan jumlah pendaftaran semasa bagi menampung peningkatan murid.
Menjawab soalan tambahan Jalaluddin berhubung penyelarasan antara prasekolah dan tadika serta kesiapsiagaan murid daripada latar belakang pendidikan awal yang berbeza, beliau berkata ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak masing-masing sama ada memasuki kohort usia enam tahun atau kekal dalam kohort tujuh tahun.
Beliau berkata, KPM juga memperluaskan akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah pada tahun ini berbanding sekitar 150 kelas setiap tahun sebelum ini.
Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan akses pendidikan awal terutama kepada golongan B40 yang tidak mampu menghantar anak ke tadika swasta.
Pada masa sama, beliau memaklumkan KPM turut meneliti implikasi terhadap kelangsungan operasi tadika swasta susulan kehilangan satu kohort murid selain meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai latihan guru dan unjuran kekurangan tenaga pengajar mengikut negeri, Wong berkata KPM mempunyai unjuran keperluan guru bagi tempoh lima tahun di peringkat kebangsaan dan negeri.
Beliau berkata, selain pengambilan guru COS, kementerian juga akan melantik sebahagian calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memenuhi keperluan semasa serta memperkukuh latihan profesion perguruan.
"Pada masa yang sama kita akan memanfaatkan sebanyak mungkin program transisi tahun satu bagi menyokong penyesuaian murid serta memastikan kurikulum persekolahan 2027 yang kita akan laksanakan tahun depan ini disesuaikan dengan tahap perkembangan dan juga keperluan murid di sekolah masing-masing," katanya.
Berita berkaitan
June 24, 2026, 3:25 pm
'Content makan tuan', mahkamah arah Che’gu Bard bela diri kes fitnah Agong
June 24, 2026, 3:09 pm
Media sosial gagal patuh pengesahan umur berdepan denda hingga RM10 juta
June 24, 2026, 3:02 pm
Polis KL banteras curi kabel: 276 laporan diterima, rampasan bernilai RM629,000
June 24, 2026, 2:55 pm
Hina Agong di Facebook: Pengawal keselamatan dipenjara 8 bulan, denda RM50,000
June 24, 2026, 2:02 pm
Kes dompet tular: Dakwaan pulangkan wang RM10,000 diperincikan, suspek diberi jaminan polis
June 24, 2026, 1:45 pm
Guru kontrak didakwa lakukan amang seksual terhadap pelajar 13 tahun di hotel
June 24, 2026, 1:41 pm
Bekas jurutera IT didenda RM18,000 guna IC palsu tebus subsidi BUDI95
June 24, 2026, 1:39 pm
