Berita Berita
Kontroversi sekatan MB Johor: Dr Akmal tuntut PM, Felda jelaskan siapa arah batal Hari Peneroka
SHAH ALAM 24 Jun – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menuntut penjelasan telus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Felda berhubung pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan membatalkan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor serta menyekat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan rancangan tersebut.
Dr. Akmal menegaskan, isu tersebut menimbulkan persoalan besar selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menafikan beliau ada mengeluarkan sebarang arahan sedemikian.
Menurutnya, sebelum ini wujud dakwaan yang cuba menuding jari kepada Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung kontroversi terbabit.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid telah memperincikan bahawa walaupun kementeriannya menyelia Felda, agensi berkenaan secara struktur pentadbiran sebenarnya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Kalau bukan arahan daripada menteri penyelia iaitu Ahmad Zahid, mestilah arahan yang Felda dapat daripada orang atau pihak yang lebih atas daripada menteri penyelia, iaitu kemungkinan arahan daripada Jabatan Perdana Menteri ataupun arahan daripada Perdana Menteri sendiri.
“Ini soalan saya. Jadi, saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Ketua Pengarah Felda untuk menjawab siapa yang tak bagi (sambutan diadakan) ini. Janganlah jadi bak kata pepatah, dah baling batu, lepas itu sorok tangan. Rakyat nak tahu,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebook peribadinya, hari ini.
Kontroversi tersebut tercetus selepas sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang sepatutnya berlangsung pada 20 dan 21 Jun lalu di Felda Ulu Belitong, Kluang, dibatalkan di saat-saat akhir atas didakwa arahan pihak pengurusan tertinggi Felda Kebangsaan. Program itu bagaimanapun diteruskan dalam skala kecil melalui Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda.
Suasana semakin tegang apabila Onn Hafiz mendedahkan pada Selasa bahawa beliau telah dihalang daripada memasuki kawasan Felda berkenaan untuk menyerahkan geran hak milik kepada para peneroka. Impaknya, lokasi majlis penyerahan tersebut terpaksa dipindahkan serta-merta ke Dewan Dato Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.
Terdahulu, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata bahawa beliau sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang sekatan rasmi atau halangan terhadap kepimpinan tertinggi kerajaan negeri Johor itu untuk mengadakan program di kawasan tanah rancangan tersebut.
Berita berkaitan
June 24, 2026, 8:11 pm
Fadhlina buat laporan polis, dakwa jadi mangsa video AI fitnah
June 24, 2026, 6:53 pm
PRN Johor: Onn Hafiz pertahan DUN Machap, ditentang calon muda PH
June 24, 2026, 6:47 pm
PRN Johor: BN pertaruh gabungan muka baharu, pemimpin berpengalaman di semua 56 DUN
June 24, 2026, 5:11 pm
Wanita trauma dakwa lelaki hulur ular dalam kereta, MBMB giat kesan suspek
June 24, 2026, 3:25 pm
'Content makan tuan', mahkamah arah Che’gu Bard bela diri kes fitnah Agong
June 24, 2026, 3:09 pm
Media sosial gagal patuh pengesahan umur berdepan denda hingga RM10 juta
June 24, 2026, 3:02 pm
Polis KL banteras curi kabel: 276 laporan diterima, rampasan bernilai RM629,000
June 24, 2026, 2:55 pm
