TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis KL banteras curi kabel: 276 laporan diterima, rampasan bernilai RM629,000

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Jun – Polis Kuala Lumpur mempertingkatkan komitmen dalam memerangi jenayah kecurian kabel di sekitar ibu negara selepas merekodkan sebanyak 276 laporan kes dan menahan 256 individu sepanjang tahun 2025 hingga Mei lalu, membabitkan nilai rampasan mencecah RM629,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi agresif secara berterusan itu dilakukan berikutan impak negatif jenayah berkenaan yang menjejaskan sistem komunikasi, keselamatan awam, serta pertumbuhan ekonomi domestik.

Mengulas lanjut mengenai data tersebut, bagi sepanjang tahun 2025, pihak polis menerima 205 laporan kes dengan 171 tangkapan berjaya dilakukan. Pecahan tangkapan melibatkan kes kecurian kabel telekomunikasi (Telco) sebanyak 103 tangkapan, kabel rel (Rail) (28 tangkapan), serta lain-lain kategori kabel (40 tangkapan). Daripada jumlah itu, sebanyak 193 kertas siasatan dibuka dengan 60 kes telah dituduh di mahkamah.

Sementara itu, trend penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini (2026) pula merekodkan 71 laporan kes dengan 85 tangkapan berjaya dibuat. Ia merangkumi kecurian kabel Telco (50 tangkapan), kabel rel (17 tangkapan), dan lain-lain kes (18 tangkapan), di mana 67 kertas siasatan dibuka dan 12 kes telah dituduh di mahkamah.

"Sepanjang tempoh berkenaan, jumlah keseluruhan barang kes yang berjaya dirampas adalah sebanyak 357 unit," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fadil menjelaskan, semua kes jenayah berkenaan disiasat di bawah dua peruntukan perundangan utama iaitu Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atas kesalahan merosakkan kemudahan rangkaian secara sengaja atau cuai.

Beliau menegaskan, jenayah kecurian kabel tidak boleh dipandang remeh kerana kesannya memberikan implikasi langsung terhadap kelancaran perkhidmatan kerajaan, gangguan komunikasi awam, serta kerugian produktiviti sektor perniagaan akibat kos penyelenggaraan dan penggantian infrastruktur yang tinggi.

"Tindakan memotong atau mencabut kabel secara haram juga merosakkan sedia ada serta meningkatkan risiko kemalangan fizikal yang ekstrem, termasuk ancaman renjatan elektrik serta kebakaran bagi kes melibatkan kabel elektrik," ujarnya.

Sehubungan itu, pihak polis menyeru masyarakat awam untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat penjenayah atau aktiviti mencurigakan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

+ - reset