Berita Berita
Kadar pengangguran April stabil pada 3 peratus, trend kehilangan pekerja masih terkawal
KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan menegaskan trend kehilangan pekerjaan yang direkodkan sejak awal Januari lalu masih berada dalam keadaan terkawal, dengan kadar pengangguran negara kekal stabil di bawah paras empat peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagaimanapun berkata, pihak kerajaan tidak memandang remeh isu pemberhentian atau pengecilan operasi perniagaan oleh syarikat-syarikat, terutama dalam mendepani situasi ekonomi global yang serba tidak menentu.
"Kadar pengangguran mencatatkan sedikit perubahan iaitu 2.9 peratus pada Mac dan meningkat kepada tiga peratus pada April. Walau bagaimanapun, angka ini masih berada di bawah paras empat peratus, iaitu penanda aras yang kita anggap sebagai tahap guna tenaga penuh (full employment).
"Bagi trend kehilangan pekerjaan pula, sebanyak 6,197 kes direkodkan bagi bulan Jun (sehingga 22 Jun), menunjukkan penurunan berbanding 7,766 pekerja pada Mei. Justeru, kita jangkakan keadaan ini masih boleh dikawal dengan baik," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai pelan mitigasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi mendepani risiko peningkatan kadar kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan impak daripada krisis tenaga serta ketidaktentuan global.
Mengulas mengenai pasaran buruh, Akmal Nasrullah memperincikan bahawa sehingga April lalu, jumlah tenaga buruh negara terus mencatatkan pertumbuhan positif kepada 17.33 juta orang, manakala bilangan penduduk yang bekerja meningkat kepada 16.82 juta orang.
Dari aspek penempatan semula pasaran kerja, portal MyFutureJobs merekodkan lonjakan pengisian sebanyak 55 peratus iaitu daripada 12,119 individu pada April kepada 18,756 orang pada Mei, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan pekerja sepanjang tahun 2026 adalah seramai 62,644 orang.
Bagi membantu kelangsungan sektor perniagaan, kerajaan setakat 18 Jun telah meluluskan dana pembiayaan melebihi RM700 juta kepada lebih 1,000 Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS), dengan baki peruntukan sekitar RM4 bilion lagi sedia untuk diagihkan.
Selain itu, sebanyak RM710 juta diperuntukkan di bawah pakej Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) sebagai langkah intervensi perlindungan pekerjaan:
-
RM580 juta: Disalurkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
-
RM100 juta: Disediakan kepada HRD Corp bagi mengendalikan program latihan kemahiran semula dan penempatan kerja dengan sokongan padanan MyFutureJobs.
Menjawab soalan tambahan Mohd Syahir mengenai cadangan pemberian insentif sementara kepada majikan untuk mengekalkan staf, Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa data kehilangan pekerja tertinggi yang direkodkan pada Januari lalu (melebihi 10,000 orang) sebahagian besarnya didorong oleh proses penyesuaian struktur perniagaan tahun baharu dan pengurusan korporat.
"Pemberhentian pekerja memang berlaku, namun aspek penting yang perlu kita nilai ialah pasaran pengambilan pekerja baharu masih berjalan lancar. Jika industri mengecilkan operasi untuk jangka masa panjang, mereka tidak akan mengambil pekerja lagi. Namun situasi semasa menunjukkan gangguan ini hanya bersifat sementara," jelasnya.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 12:36 pm
Tuduh ganggu teman wanita: Pelajar 14 tahun ditendang rakan sekelas di padang bola
June 25, 2026, 12:32 pm
Isu "pintu belakang" universiti: Exco Kedah, Dr Haim Hilman didakwa di mahkamah
June 25, 2026, 11:56 am
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
June 25, 2026, 10:41 am
