TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu "pintu belakang" universiti: Exco Kedah, Dr Haim Hilman didakwa di mahkamah

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 25 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra yang juga Exco Kedah, YB Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam satu kenyataan mengesahkan pertuduhan terhadap Dr. Haim Hilman dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, tindakan undang-undang itu diambil selepas pihak polis menerima sebanyak 15 laporan daripada pelbagai pihak berhubung kenyataan yang dikeluarkan tertuduh dalam satu program ceramah yang berlangsung di kawasan Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Jun 2026 yang lalu.

"Siasatan dijalankan susulan ucapan beliau mengenai dakwaan wujudnya kemasukan pelajar ke universiti awam tanpa melalui saluran rasmi Unit Pusat Universiti (UPU) atau diistilahkan sebagai 'pintu belakang'.

"Kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya hari ini.

Dalam prosiding hari ini, Dr. Haim Hilman diwakili oleh barisan peguam bela yang diketuai oleh Mohd Faizi bin Che Abu dan Yahaya bin Othman. Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Mahkamah Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai 2026 sebagai tarikh sebut semula kes.

Dalam pada itu, Datuk M. Kumar menasihatkan orang ramai dan semua pihak agar menghormati proses perundangan negara yang sedang berjalan serta tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi atau ulasan yang boleh menjejaskan perjalanan prosiding mahkamah.

Pihak PDRM turut memberikan peringatan tegas kepada masyarakat supaya menggunakan platform media sosial secara lebih bertanggungjawab dan berhemah, serta mengelakkan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur hasutan atau boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

+ - reset