Berita Berita
Serbuan ulang tahun pertubuhan haram: 19 ahli kumpulan KRKK ditahan di Keningau, 15 tiada dokumen diri
KENINGAU 25 Jun – Tindakan sekumpulan lelaki berkumpul bagi meraikan ulang tahun sebuah pertubuhan rahsia dan haram membawa padah apabila premis makanan berkenaan diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi khas di Jalan Masjid, di sini malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, seramai 19 individu termasuk lima remaja lelaki yang dipercayai menganggotai Kumpulan Kappa Rho Kappa atau dikenali sebagai Knight's Of The Right Kepper's (KRKK) berjaya ditahan.
Operasi pembanterasan itu dijalankan menerusi Op Cantas Bersepadu (Gengsterisme) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil semakan mendapati pertubuhan rahsia yang berasal dari Filipina itu telah diwartakan secara rasmi sebagai kumpulan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 16 Disember 2015.
"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas kesemua suspek mendapati lima daripada mereka mempunyai tanda tatu khas di bahagian tangan yang melambangkan identiti serta keahlian dalam kumpulan KRKK.
"Selain itu, pihak polis turut menemui dua individu yang memiliki Kad Keahlian KRK. Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku tujuan utama mereka berhimpun di premis berkenaan adalah bagi memperingati hari ulang tahun pertubuhan tersebut yang disambut pada setiap 24 Jun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai status kewarganegaraan suspek, Yampil mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada mereka yang ditahan didapati menceroboh negara tanpa saluran yang sah.
Daripada keseluruhan 19 tangkapan, hanya empat suspek sahaja yang berjaya mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah iaitu jenis MyKad, MyPR, MyKAS serta pasport.
"Baki 15 individu lagi didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Susulan itu, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut, manakala 15 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas bagi membantu siasatan," katanya lagi.
Kesemua suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang. Bagi suspek yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 1:51 pm
PRN Johor: "UMNO bukan parti anak beranak," Dr Akmal bidas Puad Zarkashi
June 25, 2026, 1:44 pm
PRN Johor: AMK bidas Rafizi Ramli, gesa pengundi muda tolak retorik Parti Bersama
June 25, 2026, 12:36 pm
Tuduh ganggu teman wanita: Pelajar 14 tahun ditendang rakan sekelas di padang bola
June 25, 2026, 12:32 pm
Isu "pintu belakang" universiti: Exco Kedah, Dr Haim Hilman didakwa di mahkamah
June 25, 2026, 11:56 am
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
June 25, 2026, 11:47 am
