TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

"UMNO bukan parti warisan anak beranak," - Asyraf Wajdi dedah Puad keluar parti sebab anak tak dapat calon DUN Rengit

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 25 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tampil membongkar motif sebenar di sebalik tindakan drastik Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi keluar parti, dengan mendedahkan ia berpunca daripada kekecewaan gagal mendapatkan tiket pencalonan untuk anaknya di DUN Rengit, dan bukannya isu campur tangan pihak Istana.

Menerusi kenyataan balas di laman Facebook rasminya hari ini, Asyraf mendedahkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu sebelum ini pernah menghantar mesej panjang lebar yang mengandungi unsur ugutan untuk meninggalkan dan menghentam parti jika tuntutan peribadi itu tidak dipenuhi.

"Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon di DUN Rengit.

"Benar, anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya," katanya.

Asyraf turut menyelar tindakan Dr. Puad yang disifatkan sebagai tidak wajar bagi seorang pemimpin veteran berpengalaman kerana meletakkan syarat supaya anaknya dicalonkan bagi menggantikan tempat beliau sendiri di DUN Rengit.

Malah, beliau mendedahkan taktik mengugut keluar parti apabila kehendak peribadi tidak dipenuhi ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh penyandang kerusi DUN Rengit itu.

"Untuk rekod, ini bukan kali pertama beliau mengugut untuk keluar parti apabila tidak memenuhi kehendak beliau. Zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Presiden UMNO juga beliau pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat," dedah beliau lagi.

Mengulas mengenai dakwaan Dr. Puad kononnya UMNO Johor menjadi "boneka" dan dikawal Istana sehingga membawa kepada pembubaran DUN pada 1 Jun lalu, Asyraf menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah jahat yang tidak berasas sama sekali.

Beliau menegaskan, institusi UMNO adalah sebuah parti kerakyatan yang memperjuangkan agenda yang jauh lebih besar daripada sekadar melayan tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu tertentu.

"UMNO bukan parti warisan anak beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin.

"Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu," tegasnya mengakhiri kenyataan.

+ - reset