Berita Berita
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
KUALA LUMPUR 25 Jun – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan tempoh pelaksanaan Op Kesan sehingga 30 Jun ini bagi memberi peluang tambahan kepada majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka untuk tampil secara sukarela sebelum tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan.
PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah tersebut selaras dengan usaha berterusan agensi itu untuk memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada semua pekerja di negara ini berdasarkan prinsip ‘no one left behind’.
“Bermula 1 Jun, PERKESO memperluas skim perlindungan sedia ada iaitu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dengan menyediakan perlindungan 24 jam kepada pekerja bagi kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
“PERKESO akan terus mengutamakan pendekatan advokasi, pendidikan dan khidmat nasihat kepada majikan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” jelas PERKESO.
Menurut agensi itu, pelanjutan Bulan Pemutihan turut mengambil kira tempoh sambutan Aidiladha serta cuti umum Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang memberi ruang kepada majikan untuk memanfaatkan peluang kedua bagi mendaftar secara sukarela.
PERKESO berkata, tahap pematuhan majikan menunjukkan perkembangan positif menerusi peningkatan jumlah pendaftaran perusahaan dan pekerja sejak inisiatif tersebut dilaksanakan.
“Sejak pelancaran Bulan Pemutihan tahun 2026, sebanyak 5,289 majikan dan 30,632 pekerja tempatan serta 14,428 pekerja asing telah berdaftar.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 609 notis Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) di bawah Akta 4 dan Akta 800 melibatkan majikan baharu berjumlah RM33,630 telah dikecualikan dalam tempoh ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO berkata, keputusan melanjutkan tempoh berkenaan turut mengambil kira pelaksanaan Portal ASSIST 2.0 yang bakal diperkenalkan dengan pelbagai penambahbaikan bagi memudahkan urusan majikan.
“PERKESO akan terus membimbing majikan dalam memahami keperluan skim ini.
“Selepas tamat tempoh Op Pemutihan pada 30 Jun, Op Kesan akan dipergiatkan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan majikan mematuhi kewajipan mendaftar dan mencarum pekerja boleh mengundang tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) serta pendakwaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 12:36 pm
Tuduh ganggu teman wanita: Pelajar 14 tahun ditendang rakan sekelas di padang bola
June 25, 2026, 12:32 pm
Isu "pintu belakang" universiti: Exco Kedah, Dr Haim Hilman didakwa di mahkamah
June 25, 2026, 11:47 am
Kadar pengangguran April stabil pada 3 peratus, trend kehilangan pekerja masih terkawal
June 25, 2026, 10:41 am
