Berita Berita
Tuduh ganggu teman wanita: Pelajar 14 tahun ditendang rakan sekelas di padang bola
ALOR SETAR 25 Jun – Rahsia seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menyembunyikan kejadian dirinya dipukul akhirnya terbongkar selepas satu rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial, dalam kejadian di sebuah padang bola sepak di Taman Uda, di sini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu, mangsa dilaporkan telah diserang dan ditendang oleh rakan sekolahnya sendiri akibat perselisihan faham berkaitan isu percintaan remaja.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Hilmi Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan rasmi berhubung kes berkenaan pada 20 Jun lalu selepas bapa mangsa yang berusia 53 tahun tampil membuat laporan polis.
Menurut beliau, bapa mangsa hanya menyedari kejadian buruk yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya mengenai kewujudan sebuah klip video berdurasi dua minit 31 saat yang tular di platform media sosial.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila salah seorang suspek bertindak menyerang mangsa selepas mendakwa menerima maklumat daripada rakan lain kononnya mangsa telah mengganggu teman wanita kepada suspek berkenaan. Walau bagaimanapun, mangsa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
"Suspek pertama bertindak menendang bahagian perut mangsa sehingga remaja itu rebah ke tanah sebelum sekali lagi bertindak menendang di bahagian sisi badan mangsa. Semasa mangsa sedang menahan kesakitan, seorang lagi suspek yang berada di lokasi didakwa bertindak menolak mangsa menggunakan kaki sehingga terjatuh lebih jauh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hilmi memperincikan, semakan lanjut mendapati mangsa dan kedua-dua suspek sebenarnya merupakan kenalan rapat sejak dari bangku sekolah rendah (darjah satu), selain tinggal bersebelahan di kawasan taman perumahan yang sama.
Malah, ketiga-tiga mereka merupakan rakan sebaya yang menuntut di dalam kelas dan sekolah menengah yang sama serta tidak pernah mempunyai sebarang rekod perselisihan faham atau masalah disiplin sebelum ini.
Difahamkan, mangsa memilih untuk mendiamkan diri dan tidak melaporkan insiden keganasan itu kepada pihak pengurusan sekolah mahupun kedua-dua ibu bapanya kerana enggan membesarkan isu terbabit. Kesemua pihak hanya mengetahui perkara sebenar selepas video berkenaan dimuat naik oleh individu tidak dikenali.
Pihak polis mengesahkan mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal yang serius. Kes kini sedang disiasat dengan teliti di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 1:51 pm
PRN Johor: "UMNO bukan parti anak beranak," Dr Akmal bidas Puad Zarkashi
June 25, 2026, 1:44 pm
PRN Johor: AMK bidas Rafizi Ramli, gesa pengundi muda tolak retorik Parti Bersama
June 25, 2026, 12:32 pm
Isu "pintu belakang" universiti: Exco Kedah, Dr Haim Hilman didakwa di mahkamah
June 25, 2026, 11:56 am
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
June 25, 2026, 11:47 am
