TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mereka pandai-pandai lantik sendiri' - Kelantan nafi iktiraf puak Rohingya lantik ketua di setiap daerah

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 25 Jun – Kerajaan Kelantan menegaskan tidak mengiktiraf pelantikan ketua Masyarakat Rohingya Kelantan (MRK) di setiap daerah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu kerana ia dibuat tanpa pendaftaran atau kelulusan pihak berkuasa.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Hilmi Abdullah berkata, pelantikan tersebut dilakukan secara dalaman oleh komuniti berkenaan tanpa didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah memberikan sebarang kelulusan rasmi bagi pelantikan ketua masyarakat Rohingya di Kelantan.

"Mereka pandai-pandai membuat lantikan sendiri, tidak ubah seperti melantik ketua rombongan untuk pergi ke perkhemahan.

"Tetapi jika dibiarkan, ia akan jadi bahaya kerana takut jadi macam kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penularan beberapa gambar di Facebook yang memaparkan individu daripada komuniti Rohingya menerima sijil pelantikan sebagai ketua daerah masing-masing.

Hilmi berkata, kebimbangan timbul kerana kumpulan berkenaan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang perhimpunan rasmi atau aktiviti yang melibatkan sesuatu kumpulan perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurutnya, penganjur perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sekurang-kurangnya lima hari sebelum sesuatu perhimpunan diadakan dengan menyatakan lokasi serta masa program.

"Mereka perlu memohon lesen dengan pihak polis, kemudian Ketua Polis Daerah akan mengenakan syarat-syarat yang sesuai dan memaklumkan kepada penduduk sekitar sekiranya terdapat bantahan awam.

"Jika tiada bantahan, mereka boleh berhimpun," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kegagalan memaklumkan kepada pihak berkuasa boleh menimbulkan kebimbangan dan kecurigaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti tertentu seperti perhimpunan keagamaan, majlis perkahwinan, pengebumian dan sambutan perayaan dikecualikan daripada keperluan tersebut sebagaimana diperuntukkan di bawah akta berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial gambar yang memaparkan etnik Rohingya di Kelantan melantik ketua daerah masing-masing dan menerima sijil pelantikan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Susulan itu, orang ramai menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.

+ - reset