TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: AMK bidas Rafizi Ramli, gesa pengundi muda tolak retorik Parti Bersama

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Jun – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan para pengundi, khususnya golongan muda, agar tidak mudah terpedaya dengan naratif dan propaganda politik yang dibawa oleh Parti Bersama Malaysia pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli menjelang pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, Rafizi didakwa cuba mempengaruhi minda rakyat untuk menyalahkan kerajaan dengan membina persepsi kononnya agenda reformasi telah gagal, sedangkan bekas menteri Kerajaan Madani itu sendiri pernah diberikan peluang memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negara sebelum ini.

Beliau menegaskan bahawa landskap politik hari ini sudah berubah dan pengundi muda kini jauh lebih matang untuk menilai antara fakta keberhasilan kerajaan dengan retorik politik yang direka demi meraih sokongan jangka pendek.

"Apa yang lebih penting ialah rekod pencapaian, keupayaan mentadbir, dan keberanian politik dalam menyelesaikan masalah rakyat. Saya yakin pengundi muda akan membuat keputusan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukannya propaganda politik.

"Harapan besar rakyat ketika ini ialah kestabilan politik, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti, pendapatan yang lebih baik serta masa depan yang lebih terjamin," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Danish turut membandingkan merit pentadbiran dengan menyatakan prestasi cemerlang Pakatan Harapan (PH) di beberapa buah negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang sudah cukup membuktikan keupayaan gabungan itu dalam memacu ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Sebaliknya, beliau menyindir Parti Bersama yang disifatkannya masih belum mempunyai sebarang rekod prestasi (track record) yang boleh dibanggakan, meskipun wadah baharu itu diterajui oleh dua orang bekas menteri kabinet.

"Akhirnya rakyat akan menilai berdasarkan rekod kerja, bukannya propaganda politik. Ketika parti-parti lain sibuk mencatur percaturan politik dan masa depan parti masing-masing, Perdana Menteri terus memberi tumpuan kepada usaha mentadbir negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Tambah beliau, PH akan terus komited untuk menjadi tunjang utama harapan rakyat di Johor dan seluruh negara bagi memastikan agenda pembangunan serta pemerkasaan kesejahteraan masyarakat dapat diteruskan secara realistik tanpa gangguan kestabilan.

+ - reset