TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: "UMNO bukan parti anak beranak," Dr Akmal bidas Puad Zarkashi

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 25 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa UMNO sama sekali tidak mengamalkan politik dinasti atau memberikan layanan istimewa kepada ahli keluarga pemimpin tertentu untuk dipilih sebagai calon pilihan raya.

Beliau membidas keras dakwaan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang menuduh Barisan Nasional (BN) Johor tidak lagi mempunyai aspirasi orang muda susulan pengumuman keluar partinya hari ini.

Menerusi satu hantaran video di laman Facebook rasminya, Dr. Akmal menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas memandangkan ramai tokoh muda yang berwibawa telah dipilih untuk menggalas tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini.

"UMNO ini bukan parti anak beranak. Ramai lagi orang muda yang ada dan telah dipilih sebagai calon.

"Hanya kerana anak seseorang tidak dipilih sebagai calon, tidak bermakna parti ini tidak lagi mempunyai aspirasi untuk golongan muda," bidasnya hari ini.

Dr. Akmal mendedahkan bahawa bagi membuktikan komitmen pembaharuan, BN Johor sebenarnya telah mempertaruhkan seramai 13 calon yang berusia di bawah 40 tahun untuk bertanding di 56 kerusi DUN yang ditawarkan.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan perjuangan Dr. Puad sebelum ini yang sering melaungkan agenda peremajaan parti, namun bertindak sebaliknya apabila hasrat peribadi tidak dipenuhi.

"Sebelum ini beliau sendiri menyatakan hasrat supaya lebih ramai calon muda diketengahkan dan perkara itu telah dilaksanakan. Beliau sendiri pernah bertanding (DUN Rengit) ketika berusia lebih 60 tahun. Jadi tidak wajar untuk mengatakan UMNO Johor tiada aspirasi orang muda hanya kerana permintaan tertentu tidak dapat dipenuhi," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Akmal menyifatkan tindakan mengheret institusi istana dalam kemelut senarai calon sebagai satu tuduhan melampau dan berniat jahat.

Sehubungan itu, beliau mengesahkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO akan menggerakkan laporan polis di seluruh negara bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh demi mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja.

"Tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi raja adalah perkara yang sangat berat. Kita mahu perkara ini disiasat dan jika dakwaan itu tidak benar, tindakan sewajarnya perlu diambil," tegasnya lagi.

+ - reset