TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

"Ibarat haruan makan anak," Bapa durjana dipenjara 39 tahun, 10 sebatan rogol anak kandung hingga hamil

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 25 Jun – "Kelakuan ibarat haruan makan anak." Demikian bidas Hakim Datin M. Kunasundary sebelum menjatuhkan hukuman penjara 39 tahun dan 10 kali sebatan terhadap seorang bapa yang tergamak merogol anak kandungnya sendiri sehingga hamil.

Hukuman berat itu diputuskan di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak Putrajaya hari ini selepas tertuduh yang berusia 46 tahun mengaku bersalah sejurus ketiga-tiga pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan keji tersebut sebanyak tiga kali iaitu sekitar awal tahun 2024, penghujung 2024, dan kali terakhir pada Jun 2026, antara jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan sumbang mahram itu mula terbongkar apabila tertuduh sendiri membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar mendapati remaja malang itu telah pun hamil dengan usia kandungan mencecah enam minggu empat hari.

Susulan penemuan itu, seorang pegawai perubatan bertindak membuat laporan polis pada jam 9.07 malam, 18 Jun lalu. Siasatan polis mendedahkan mangsa telah dipaksa melayan nafsu serakah bapa kandungnya itu sejak dia baru berusia 12 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Kunasundary menegaskan bahawa mahkamah mengambil kira faktor tertuduh yang mengaku bersalah pada hari pertama dihadapkan ke mahkamah, namun trauma mendalam yang dilalui mangsa tidak boleh dipandang ringan.

"Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah. Namun, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yang amat keji dan penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh adalah ibarat haruan makan anak," tegas beliau.

Selain hukuman pemenjaraan dan sebatan, mahkamah turut mengenakan perintah tambahan, mengarahkan tertuduh wajib menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanan di penjara, serta diletakkan di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun sejurus dibebaskan kelak.

+ - reset