Berita Berita
Malaysia naik tangga ke-12 negara paling aman di dunia
KUALA LUMPUR 25 Jun – Malaysia terus mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila berada di kedudukan ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026, sekali gus meningkat satu anak tangga berbanding kedudukan ke-13 pada tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian tersebut meletakkan Malaysia dalam kelompok negara paling aman di rantau Asia bersama Singapura dan Jepun.
Menurut beliau, pengiktirafan itu mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan aspek keamanan, keselamatan dan kestabilan negara sentiasa diberi keutamaan.
"Pengiktirafan ini juga adalah hasil komitmen seluruh pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta semua pihak yang tidak pernah berkompromi dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh pelbagai usaha bagi meningkatkan keselamatan awam, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, memperketatkan kawalan sempadan negara serta membanteras jenayah demi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
Menurutnya, keamanan bukan sekadar satu pencapaian, malah menjadi asas penting kepada kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau menegaskan usaha untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan stabil akan terus diperkasakan demi manfaat seluruh rakyat.
"Tahniah dan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara keamanan yang kita kecapi hari ini," katanya.
Berdasarkan laporan GPI 2026, Singapura berada di kedudukan kelapan dunia, diikuti Jepun di tangga ke-10 dan Malaysia di tempat ke-12, sekali gus menjadikan ketiga-tiga negara itu antara negara paling aman di Asia.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 3:55 pm
Kanak-kanak 9 tahun maut disyaki terjatuh ketika mandi di rumah
June 25, 2026, 3:31 pm
Umpan wang RM5 dan mi segera: Warga emas 73 tahun ditahan cabul dua murid di stor masjid
June 25, 2026, 3:18 pm
Isu "pintu belakang": KPT tegas kemasukan universiti awam ikut merit, tepis isu UEC
June 25, 2026, 3:03 pm
Wawasan tidak tanding PRN Johor, fokus PRN Negeri Sembilan
June 25, 2026, 1:51 pm
PRN Johor: "UMNO bukan parti anak beranak," Dr Akmal bidas Puad Zarkashi
June 25, 2026, 1:44 pm
