Berita Berita
Umpan wang RM5 dan mi segera: Warga emas 73 tahun ditahan cabul dua murid di stor masjid
MELAKA 25 Jun – Seorang kariah tetap sebuah masjid yang berusia 73 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki tergamak melakukan perbuatan cabul terhadap dua murid perempuan berusia lapan dan 10 tahun di dalam stor masjid di Semabok, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kejadian menyayat hati itu berlaku sekitar 16 Jun lalu, melibatkan dua orang mangsa yang menuntut di sebuah sekolah berhampiran kawasan masjid berkenaan.
Siasatan awal mendapati, ketika kejadian berlaku, kedua-dua mangsa sedang menunggu kehadiran ibu bapa mereka untuk pulang ke rumah selepas sesi persekolahan tamat.
"Suspek yang merupakan warga emas dan kariah di masjid tersebut dipercayai telah mengumpan kedua-dua mangsa menggunakan wang tunai bernilai RM5 serta mi goreng segera sebelum membawa mereka masuk ke dalam stor masjid.
"Ketika berada di dalam stor berkenaan, suspek dikesan mengambil kesempatan menyentuh dan mencium mangsa," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Dzulkhairi memperincikan, tindakan keji itu dipercayai tidak hanya berlaku sekali, malah telah diulang beberapa kali dalam tempoh dua minggu terhadap mangsa yang sama. Suspek juga bertindak mengugut dan meminta kedua-dua kanak-kanak tersebut agar merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan sesiapa.
Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Perubahan tingkah laku yang ketara pada kedua-dua mangsa berjaya dihidu oleh guru sekolah mereka, sebelum mereka dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling khas.
"Dalam sesi kaunseling bersama guru terbabit, kedua-dua mangsa akhirnya membuka mulut dan menceritakan segala trauma yang dialami. Pihak pengurusan sekolah segera menghubungi penjaga mangsa sebelum satu laporan polis rasmi dibuat," jelasnya.
Bertindak atas maklumat, suspek telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Pihak polis mengesahkan tiada sebarang unsur rogol dikesan dalam kes ini, dan kes kini sedang disiasat dengan kritikal di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau turut menitipkan pesanan tegas agar ibu bapa serta penjaga lebih peka dan memantau rapi pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak dibiarkan bersendirian di tempat awam tanpa pengawasan orang dewasa.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 3:55 pm
Kanak-kanak 9 tahun maut disyaki terjatuh ketika mandi di rumah
June 25, 2026, 3:18 pm
Isu "pintu belakang": KPT tegas kemasukan universiti awam ikut merit, tepis isu UEC
June 25, 2026, 3:03 pm
Wawasan tidak tanding PRN Johor, fokus PRN Negeri Sembilan
June 25, 2026, 3:01 pm
Malaysia naik tangga ke-12 negara paling aman di dunia
June 25, 2026, 1:51 pm
PRN Johor: "UMNO bukan parti anak beranak," Dr Akmal bidas Puad Zarkashi
June 25, 2026, 1:44 pm
