Berita Berita
'Tawar van jenazah percuma, tapi minta wang seminggu selepas kebumi' - Mr Wan Chai dedah NGO cuba scam waris mangsa
MELAKA 2 Julai - Sebuah perkhidmatan van jenazah di negeri ini menjadi perhatian selepas didakwa meminta bayaran daripada waris seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, walaupun sebelum itu memaklumkan perkhidmatan berkenaan diberikan secara percuma.
Dakwaan itu dikongsikan menerusi akaun Facebook Mr Wan Cai Official yang mendakwa keluarga mangsa dihubungi kira-kira seminggu selepas pengebumian bagi meminta sejumlah wang yang disifatkan sebagai sumbangan atau infak.
Menurut hantaran itu, pada peringkat awal, pihak pengurusan van jenazah memaklumkan kepada waris bahawa perkhidmatan berkenaan disediakan secara percuma tanpa sebarang bayaran.
Bagaimanapun, pengendali akaun berkenaan mendakwa keluarga terbabit kemudiannya menerima mesej yang meminta mereka membuat pembayaran atas alasan sumbangan, sekali gus mempersoalkan tindakan menetapkan jumlah tertentu bagi tujuan itu.
"Kartel Van Jenazah Melaka ini memang betul-betul dah melampau. Jenazah kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pun kamu sanggup tipu dan ambil duit.
"Di hospital, kamu maklumkan kepada waris bahawa perkhidmatan itu percuma. Kononnya ikhlas dan tidak perlu bayar apa-apa.
"Selang seminggu, kamu menghantar mesej kepada bapa arwah untuk minta duit. Apabila bapa arwah mempertikaikan perjanjian awal yang menyatakan perkhidmatan itu percuma, kamu pula mendakwa bayaran tersebut adalah sumbangan dan infak.
“Yang aku tidak puas hati, kenapa sumbangan yang kamu tetapkan itu mempunyai nilai tertentu?" menurut hantaran tersebut.
Hantaran sama turut menyertakan tiga nama yang didakwa terlibat dalam pengurusan perkhidmatan van jenazah berkenaan.
Pengendali akaun itu turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan yang didakwa berlaku ketika keluarga mangsa masih bersedih atas kehilangan anak mereka.
"Macam mana kamu tergamak menipu ibu bapa yang baru kehilangan anak perempuan berusia 11 tahun? Mana pergi belas kasihan kamu?
"Aku akan pastikan Van Jenazah Melaka hanya tinggal nama sahaja selepas ini," katanya.
Sementara itu, wakil pengurusan van jenazah berkenaan yang dikenali sebagai Rahmat ketika dihubungi media memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan bukti berhubung dakwaan tersebut.
Beliau berkata, pihak pengurusan juga akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan yang tular di media sosial itu.
Berita berkaitan
July 2, 2026, 8:16 pm
Motosikal rempuh van sekolah bawa 10 pelajar, penunggang maut di hospital
July 2, 2026, 7:53 pm
13 anak naungan YKM terima Bantuan Menara Gading mulai esok
July 2, 2026, 7:41 pm
Isu LRT3: "Kami selamatkan RM15.02 bilion wang rakyat" – Guan Eng, Tony Pua
July 2, 2026, 7:30 pm
PRN Johor: Khairy pelawa pengundi BERSATU sokong calon BN di kerusi tidak ditandingi PN
July 2, 2026, 4:52 pm
Penganggur dipenjara 10 tahun, rogol murid darjah 2, beri RM3 supaya 'tutup mulut'
July 2, 2026, 4:31 pm
MEF sedia ambil pelarian Rohingya isi kekosongan sektor 3D
July 2, 2026, 2:52 pm
