Berita Berita
MEF sedia ambil pelarian Rohingya isi kekosongan sektor 3D
KUALA LUMPUR 2 Julai - Persatuan majikan menyatakan kesediaan untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sekiranya kerajaan membenarkan mereka bekerja secara sah, khususnya bagi mengisi kekosongan dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar).
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan membenarkan pelarian berdaftar bekerja secara formal kerana langkah itu mampu membantu menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor tertentu.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber tenaga kerja sedia ada di dalam negara, malah mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan pekerja asing baharu yang melibatkan kos tinggi serta proses yang panjang.
“Pendekatan ini membantu optimumkan sumber tenaga kerja yang sedia ada di dalam negara dan pada masa sama mengurangkan keperluan membawa masuk pekerja asing baharu yang melibatkan kos pengambilan tinggi serta proses yang panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia masih memerlukan tenaga kerja bagi mengisi kekosongan dalam sektor 3D seperti perladangan, pembinaan dan pekerjaan berisiko yang kurang mendapat sambutan rakyat tempatan.
“Negara bergantung kepada sektor ini bagi memastikan rantaian perkhidmatan dan pengeluaran produk terus berjalan. Persoalannya, siapakah yang akan mengisi kekosongan tersebut?
“Apabila taraf hidup masyarakat semakin meningkat, rakyat tempatan semakin kurang berminat melakukan kerja-kerja pembersihan dan pekerjaan yang kotor. Sebab itu negara masih memerlukan tenaga kerja asing,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Hussain berpandangan peluang pekerjaan secara sah kepada pelarian akan memudahkan kerajaan mendaftarkan serta memantau golongan berkenaan di bawah sistem yang lebih tersusun.
“Adalah lebih baik mereka bekerja secara sah berbanding secara haram. Semua undang-undang buruh dan undang-undang negara juga akan terpakai kepada mereka seperti pekerja lain,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi, Dr. Idham Md. Razak berkata, pelaksanaan dasar tersebut tidak semestinya memberi manfaat kepada ekonomi negara sekiranya tidak disertai mekanisme kawal selia yang berkesan.
Menurutnya, dasar itu berisiko memberi tekanan terhadap kadar gaji pekerja tempatan dalam segmen tertentu selain meningkatkan kos pentadbiran serta pemantauan.
“Tanpa kawalan yang ketat, manfaat ekonomi mungkin tidak melebihi kos sosial dan fiskal yang perlu ditanggung.
“Dalam jangka panjang, terdapat risiko majikan terus bergantung kepada tenaga kerja kos rendah berbanding melabur dalam teknologi dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, sekali gus melambatkan transformasi ekonomi negara ke arah sektor bernilai tinggi,” katanya.
Berita berkaitan
July 2, 2026, 8:16 pm
Motosikal rempuh van sekolah bawa 10 pelajar, penunggang maut di hospital
July 2, 2026, 7:53 pm
13 anak naungan YKM terima Bantuan Menara Gading mulai esok
July 2, 2026, 7:41 pm
Isu LRT3: "Kami selamatkan RM15.02 bilion wang rakyat" – Guan Eng, Tony Pua
July 2, 2026, 7:30 pm
PRN Johor: Khairy pelawa pengundi BERSATU sokong calon BN di kerusi tidak ditandingi PN
July 2, 2026, 4:52 pm
Penganggur dipenjara 10 tahun, rogol murid darjah 2, beri RM3 supaya 'tutup mulut'
July 2, 2026, 2:52 pm
