TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Smart Lane berjaya kurangkan kesesakan hingga 50 peratus

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Julai - Pelaksanaan Smart Lane di beberapa jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berjaya mengurangkan kesesakan trafik antara 30 hingga 50 peratus sejak diperkenalkan pada 2023, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam melancarkan aliran kenderaan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan yang dijalankan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menunjukkan kadar kemalangan di lokasi Smart Lane adalah rendah berbanding jumlah keseluruhan trafik yang menggunakan laluan berkenaan.

“Sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, hanya 36 kemalangan direkodkan di 12 lokasi Smart Lane pada hari bekerja, dengan kes melibatkan penunggang motosikal lebih rendah berbanding laluan biasa.

“Smart Lane bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik pada waktu puncak dan musim perayaan, malah pelaksanaannya sentiasa melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan mengenai justifikasi pelaksanaan Smart Lane dengan mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.

Menurut Nanta, hasil analisis mendapati kebanyakan kemalangan berpunca daripada kegagalan pengguna mematuhi peraturan jalan raya, termasuk menggunakan lorong kecemasan di luar zon Smart Lane, menukar lorong secara berbahaya serta memberhentikan kenderaan tanpa kecemasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, LLM mewajibkan syarikat konsesi lebuh raya melantik juruaudit keselamatan jalan raya bebas bagi menjalankan audit keselamatan setiap lima tahun, termasuk menilai aspek keselamatan pelaksanaan Smart Lane.

Tambah beliau, Kementerian Kerja Raya Malaysia bersama LLM turut memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kepadatan trafik secara masa nyata, sekali gus membolehkan aliran trafik diselaras dengan lebih cekap.

+ - reset