TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Subsidi Diesel Budi Madani: Pemilik boleh pindah kelayakan kepada ahli keluarga, tak perlu tukar hak milik

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 2 Julai – Pemilik kenderaan diesel persendirian yang berdaftar di bawah program Budi Madani kini diberikan kelonggaran untuk memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh menjelaskan, inisiatif ini bertujuan memastikan subsidi tersebut benar-benar dinikmati oleh individu yang menggunakan kenderaan berkenaan, tanpa perlu melalui proses menukar hak milik kenderaan secara rasmi.

Kemudahan pemindahan kelayakan ini terhad kepada ahli keluarga terdekat seperti pasangan, anak, ibu bapa, atau adik-beradik, di mana pemilik asal hanya perlu mengemas kini maklumat pengguna sebenar melalui portal Budi Madani.

Sebagai contoh, jika sebuah kenderaan masih didaftarkan atas nama ibu tetapi digunakan setiap hari oleh anaknya, ibu tersebut boleh memindahkan kelayakan subsidi kepada anak berkenaan. Walau bagaimanapun, proses pemindahan ini hanya dibenarkan dilakukan sekali sahaja dan terhad kepada seorang penerima tunggal.

Dalam pada itu, bagi pemilik yang tetap mahu mengemas kini rekod pemilikan kenderaan secara rasmi di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kerajaan turut mengumumkan pengecualian fi tukar hak milik selama tiga bulan bermula 1 Julai ini.

Langkah tersebut diambil bagi memudahkan orang ramai menyelaraskan rekod pemilik selari dengan pengguna sebenar kenderaan, sekali gus menyokong usaha kerajaan mengekang ketirisan dan salah guna subsidi diesel di pasaran.

Untuk rekod, kelayakan asas subsidi diesel di bawah program ini ditetapkan sebanyak 200 liter sebulan. Manakala bagi pemilik kenderaan jenis jip persendirian yang berkelayakan, mereka boleh mengemukakan permohonan kuota tambahan sebanyak 100 liter lagi menerusi portal Budi Madani atau hadir secara bersemuka di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

+ - reset