TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

13 anak naungan YKM terima Bantuan Menara Gading mulai esok

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 2 Julai – Nasib dan masa depan 13 anak-anak di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) terus terbela apabila mereka dijadualkan menerima dana Bantuan Menara Gading yang akan mula dikreditkan secara terus bermula esok.

Bantuan kewangan itu disalurkan bagi meringankan beban perbelanjaan awal pengajian selepas kumpulan pelajar berkenaan berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi pasca-peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Kesemua penerima manfaat tersebut kini menyambung pengajian dalam pelbagai portfolio akademik dan latihan, termasuk kemasukan ke tingkatan enam, program diploma, matrikulasi, asasi, pengajian peringkat sijil, serta bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Antara yang tersenarai menerima bantuan kali ini ialah barisan pelajar cemerlang YKM bagi keputusan SPM 2025. Ia termasuk Aisyah Maharuddin yang memperoleh keputusan 10A dan bakal mendaftar ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.

Turut menerima bantuan ialah Nurhanani Ainah Khafizan dan Nur Aqilah Alya Mohamad yang masing-masing meraih 9A, dan kini melanjutkan pengajian dalam program Asasi selama setahun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dengkil.

Secara keseluruhan, jumlah 13 pelopor menara gading ini mewakili 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 33 anak-anak YKM yang menduduki peperiksaan utama tersebut pada tahun lalu.

Pengerusi YKM yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, graf kejayaan tersebut menjadi bukti kukuh bahawa sistem sokongan dan intervensi pendidikan yang konsisten mampu membuka ruang mobiliti sosial yang lebih baik kepada anak-anak daripada latar belakang keluarga yang memerlukan.

“Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin, dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih cerah.

“Namun begitu, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran ke peringkat tinggi ini masih perlu dipertingkatkan lagi. Pihak YKM menyasarkan penanda aras baharu untuk memastikan lebih daripada separuh pelajar lepasan SPM di bawah naungan yayasan ini meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya pada setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas mengenai mekanisme pengagihan, Ahli Parlimen Bera itu memaklumkan bantuan tunai tersebut akan dimasukkan terus ke akaun perbankan penerima bermula esok bagi membolehkan persediaan logistik dan yuran pendaftaran dilakukan dengan lancar sebelum mereka melangkah masuk ke kampus.

Beliau turut memberi komitmen penuh bahawa selagi YKM mempunyai keupayaan serta kedudukan kewangan yang kukuh, yayasan itu akan terus komited memastikan tiada anak-anak yatim atau golongan rentan di bawah seliaan mereka yang tercicir daripada akses mendapatkan peluang pendidikan berkualiti.

+ - reset