TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu LRT3: "Kami selamatkan RM15.02 bilion wang rakyat" – Guan Eng, Tony Pua

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 2 Julai – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Setiausaha Politiknya, Tony Pua Kiam Wee tampil memberikan penjelasan bersama berhubung isu rasionalisasi projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sambil menzahirkan rasa hormat dan menjunjung kasih atas titah pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua pemimpin DAP itu menegaskan bahawa keputusan menyemak semula kos perbelanjaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjaya menyelamatkan dana negara sebanyak RM15.02 bilion tanpa menjejaskan fungsi utama sistem pengangkutan awam terbabit.

Mereka turut menjelaskan bahawa projek infrastruktur yang kini dinamakan Laluan LRT Shah Alam itu tidak pernah dihentikan, terbengkalai, atau digantung sepanjang tempoh antara tahun 2018 hingga 2020, sebaliknya diteruskan sebagai agenda kritikal.

"Kami ingin dengan penuh hormat dan rendah diri menjelaskan bahawa semakan kos tersebut terpaksa dibuat selepas pihak Prasarana Malaysia Berhad mengemukakan cadangan belanjawan baharu yang melonjak drastik kepada RM31.65 bilion pada Mac 2018.

"Jumlah tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding unjuran kelulusan asal sekitar RM9 bilion, selain melibatkan permohonan tambahan jaminan kerajaan yang besar mencecah RM22 bilion," menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan wang rakyat diuruskan secara berhemah, kerajaan ketika itu melantik perunding kejuruteraan bebas untuk menilai semula skop projek bagi memastikan ia kekal memenuhi kapasiti jangkaan penumpang serta memberikan nilai pulangan terbaik.

Hasil penilaian teknikal berkenaan, Jemaah Menteri kemudiannya meluluskan pengurangan kos siling daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, sekali gus menghasilkan unjuran penjimatan bersih berjaya mencecah RM15.02 bilion.

“Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa penjimatan kepada kerajaan Malaysia ini bukan dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT. Penjimatan ini seterusnya membolehkan kerajaan mengagihkan semula dana untuk manfaat kebajikan rakyat serta perbelanjaan pembangunan lain,” kata mereka.

Antara langkah penghematan fiskal yang diambil ketika itu termasuklah mengurangkan volum tempahan tren tambahan yang berlebihan, menangguhkan pembinaan lima buah stesen yang mencatatkan unjuran jangkaan penumpang yang rendah, serta memansuhkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi menyekat caj kos berganda.

Bagaimanapun, mereka mengambil maklum bahawa lima stesen yang ditangguhkan sebelum ini telah dimasukkan semula dalam pelaksanaan kontrak fasa kedua oleh Kerajaan Persekutuan semasa, menyebabkan kos siling terkini meningkat semula kepada RM21.93 bilion.

Meskipun begitu, mereka menyatakan nilai akhir tersebut masih jauh lebih rendah berbanding anggaran asal bernilai RM31.65 bilion, bermakna negara tetap menikmati penjimatan modal melebihi RM9.72 bilion di samping unjuran penjimatan kos faedah pembiayaan sehingga RM10 bilion bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang.

Guan Eng dan Tony Pua turut merakamkan setinggi-setinggi penghargaan atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap penyiapan projek berkenaan yang diakui bertindak sebagai pemangkin ekonomi utama serta ejen penguraian trafik yang efektif di koridor barat Lembah Klang.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titah diraja sempena pembukaan jajaran rel itu menzahirkan rasa kurang senang serta mengkritik tindakan Guan Eng dan Tony Pua yang mengecilkan skop pelaburan serta saiz stesen LRT3 atas alasan ia sebuah 'projek mega'.

Baginda menegaskan kemudahan rel pengangkutan awam berkenaan sama sekali bukan dibina untuk tujuan bermegah-megah, sebaliknya merupakan projek keperluan asas yang amat penting demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan harian rakyat Selangor.

+ - reset