TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: Khairy pelawa pengundi BERSATU sokong calon BN di kerusi tidak ditandingi PN

By
|
Kongsi
image

 

BATU PAHAT, 2 Julai – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengajak pengundi dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, langkah itu wajar mengambil contoh tindakan PAS yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada calon BN di beberapa kerusi, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dalam kalangan orang Melayu.

Menurutnya, meskipun BN berusaha memperkukuh sokongan daripada semua kaum termasuk pengundi bukan Melayu, usaha penyatuan orang Melayu di Johor tidak seharusnya diketepikan.

"Saya juga mengajak rakan daripada BERSATU untuk mengikut langkah diambil PAS. Yang tidak bertanding, contohnya di sini (Parit Yaani), kita ajak mereka sokong kita.

"Sebab orang Melayu di Johor inginkan satu bangsa Johor yang bersatu atas semangat itu. Kalau tidak ada calon daripada PN, kita ajak juga pengundi daripada BERSATU sokong BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program 'Lunch Hour With KJ vs NS' yang turut dihadiri calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, di Parit Besar, di sini, hari ini.

Khairy berkata, BN tidak menganggap PAS mahupun BERSATU sebagai musuh politik, sebaliknya menyifatkan ketiga-tiga parti itu berasal daripada "rumpun yang sama".

"Kita semua datang daripada rumpun sama, jadi kita perlu bersatu... bukan bermusuh. PAS bukan musuh kita... BERSATU pun sama. Malah, BN pun tidak ada musuh dengan sesiapa pun.

"Bila ada rakan kita (PAS dan BERSATU) tidak bertanding, kita ajak mereka sokong kita," katanya.

Mengulas sama ada beliau bersedia mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti berhubung perkara itu, Khairy berkata beliau tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian kerana kini hanya merupakan ahli biasa UMNO.

"Saya cuma ahli biasa, tetapi saya rasa ada rakan yang sedang berbincang supaya BERSATU dan PAS membuat pertimbangan.

"Bila tidak ada calon BERSATU, mereka akan melihat atas kertas undi antara BN dan PH (Pakatan Harapan), yang mana satu mereka lebih selesa," katanya.

+ - reset