TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru didakwa baling pemadam papan putih hingga murid 7 tahun cedera dekat mata kerana tidak fokus dalam kelas

By
|
Kongsi
image

 

 

 

BATU PAHAT 2 Julai - Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun dengan membaling pemadam papan putih sehingga menyebabkan kecederaan berhampiran mata mangsa.

Tertuduh, Fakhriah Bustani, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid terbabit di sebuah sekolah kebangsaan di Tongkang Pecah, dekat sini, kira-kira jam 9 pagi pada 1 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa pulang ke rumah dan memaklumkan kepada keluarganya bahawa seorang guru yang juga tertuduh telah membaling pemadam papan putih ke arahnya sehingga terkena bahagian berhampiran mata.

Siasatan polis mendapati tertuduh didakwa bertindak demikian kerana mangsa dikatakan tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

Akibat kejadian itu, pemadam papan putih berkenaan terkena bahagian bawah mata kanan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

Pemeriksaan oleh pegawai perubatan turut mengesahkan kecederaan yang dialami mangsa adalah berpunca daripada perbuatan yang didakwa dilakukan tertuduh.

+ - reset