TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Negeri Sembilan penentu jajaran kerjasama BN-PN ke Melaka dan PRU-16 - Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

JEMPOL, 18 Julai — Prestasi serta keberkesanan model kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi penentu utama sama ada formula tersebut akan diperluaskan ke PRN Melaka, negeri-negeri lain, serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa landskap politik tanah air sentiasa bersifat dinamik, dan sebarang keputusan berhubung penyusunan jajaran baharu pasca-PRN bergantung sepenuhnya kepada keputusan yang dicapai di Negeri Sembilan.

"Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan kerana politik ini adalah sangat dinamik. Maka kita akan menyusun jajaran yang mungkin untuk Melaka dan untuk negeri-negeri lain pula. Apatah lagi kalau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program GEMA @ KKDW Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Felda Palong 8, hari ini.

Beliau memperincikan bahawa status kerjasama antara BN dan PN di Negeri Sembilan ketika ini hanyalah berasaskan kepada persefahaman bersama bagi mengelakkan berlakunya pertindihan kerusi bertanding, dan bukannya diikat melalui sebarang perjanjian politik secara rasmi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menzahirkan harapan agar formula persefahaman yang dirangka tersebut mampu diterjemahkan dengan baik oleh jentera kedua-dua parti di lapangan, sekali gus meraih sokongan padu daripada para pengundi bagi memastikan kemenangan mutlak gabungan itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa BN meletakkan keyakinan tinggi dengan menawarkan rekod pencapaian pentadbiran cemerlang yang pernah diterajui parti itu sebelum ini sebagai sandaran dan jaminan utama kepada rakyat Negeri Sembilan.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kedudukan ekonomi semasa Negeri Sembilan, di mana kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu yang mencatatkan 4.6 peratus didapati masih berada di bawah purata nasional iaitu 5.2 peratus.

Prestasi tersebut mengukuhkan hasrat beliau untuk membawa model pembangunan Johor dan Pahang ke Negeri Sembilan. Beliau membandingkan kadar pertumbuhan ekonomi Johor yang melonjak sekitar lapan peratus di bawah pentadbiran BN sebagai bukti keupayaan model tadbir urus parti tersebut.

"Jadi kita memberikan tawaran kepada seluruh rakyat agar apa yang berlaku di Johor dan Pahang akan dapat dilakukan di Negeri Sembilan jika mandat dapat diberikan kepada BN untuk mentadbir negeri ini," ujar beliau.

+ - reset