TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tengku Ampuan Pahang pelawa masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot menetap di tanah milik baginda di Kuala Wau

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 20 Julai — Kemelut yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot yang mendakwa memerlukan tanah untuk didiami selepas kawasan penempatan mereka dibangunkan, mendapat perhatian khusus daripada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda yang menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap isu pertikaian tanah tersebut bertindak mempermudah jalan penyelesaian dengan mempelawa mana-mana keluarga daripada komuniti berkenaan yang terkesan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Tunku Azizah sentiasa mengikuti rapat perkembangan kes tersebut serta amat memahami kegusaran serta kesulitan yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Beliau memberitahu bahawa di mata Tunku Azizah, masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebahagian daripada rakyat Pahang, malah sentiasa mempunyai kedudukan yang amat istimewa di hati baginda.

“Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh baginda ketika ini, peranan Orang Asli adalah mustahak di dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi. Justeru itu kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda.

“Demi perasaan kasih dan tanggungjawab itu, baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

“Baginda turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Kita tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka. Sekiranya pada masa hadapan tanah milik baginda di Kuala Wau itu dibangunkan, baginda akan memastikan masyarakat Orang Kita yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Jelas beliau lagi, pelawaan untuk mendiami tanah di Kuala Wau, Maran itu tertakluk di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan ia turut terbuka kepada mana-mana masyarakat Orang Asli dari kawasan lain yang sedang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu.

Melalui inisiatif berkenaan, baginda berharap pelawaan itu dapat memberikan kelegaan kepada pihak yang terkesan, sekali gus memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan semasa.

“Pada masa yang sama, baginda menyeru semua pihak terbabit mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.

“Baginda turut berharap segala usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat Orang Kita serta keharmonian negeri Pahang,” katanya.

+ - reset