TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tayangan final Piala Dunia kecoh, 12 lelaki ditahan merusuh guna senjata di Johor Bahru

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 20 Julai — Kemeriahan menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki terlibat dalam pergaduhan besar di sebuah restoran di Taman Daya, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.40 pagi itu, insiden pergaduhan berkenaan turut tular di media sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa individu menyerang satu sama lain dengan menggunakan objek dipercayai senjata.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengesahkan pihak polis telah menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sebelum laporan maklumat pertama dibuka bagi memulakan siasatan.

Bertindak atas maklumat, kecekapan anggota polis berjaya memberkas seramai 12 lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 38 tahun dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Taman Setia Indah, antara jam 10 pagi hingga 11 pagi hari yang sama.

“Polis turut mengesan satu video tular dimuat naik di Facebook yang memaparkan kejadian pergaduhan tersebut. Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan dan kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Jelas beliau, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hasil semakan lanjut rekod jenayah mendapati tiga daripada 12 suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau. Pihak polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Johor Bahru esok bagi membolehkan siasatan mendalam dijalankan.

“Motif sebenar pergaduhan masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada perselisihan faham ketika orang ramai berkumpul menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia,” tambah beliau lagi.

+ - reset