TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penipuan KWAP: 'Kerajaan tak masuk campur, kelulusan pelaburan dibuat panel profesional' - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), termasuk pelaburan yang mengakibatkan kerugian RM160 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap keputusan pelaburan dibuat secara profesional oleh panel pelaburan dan lembaga pengarah yang dilantik, selepas melalui proses usaha wajar (due diligence) serta penilaian menyeluruh.

“Panel ini terdiri daripada golongan profesional terpilih. Selalunya keputusan itu dibuat dan dibentangkan kepada lembaga serta tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.

“Sejak saya di MOF, laluan penuh tidak ada campur tangan kerajaan atau keperluan membawa cadangan pelaburan untuk pertimbangan kerajaan atau Menteri Kewangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung kerugian pelaburan KWAP dalam eFishery.

Mengulas isu berkenaan, Anwar mengakui pelaburan KWAP sebanyak kira-kira RM160 juta dalam syarikat berstatus unicorn itu terjejas akibat penipuan yang disifatkannya sebagai sangat terancang dan sukar dikesan.

“Ternyata sekarang ada penipuan terancang. Soalannya mengapa tidak diteliti? Jawapannya, ia memang telah diteliti oleh panel pelaburan.

“Penipuan ini sangat canggih,” katanya.

Beliau berkata, bukan hanya KWAP menjadi mangsa, malah beberapa pelabur institusi antarabangsa termasuk Aqua-Spark dari Belanda, 42X Fund dari Abu Dhabi, Temasek dari Singapura serta SoftBank turut mengalami kerugian selepas terpedaya dengan maklumat yang dikemukakan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Anwar berkata prestasi keseluruhan KWAP masih kekal kukuh apabila merekodkan keuntungan bersih RM12.9 bilion dengan pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus.

Katanya, pencapaian itu perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan satu pelaburan yang mengalami kerugian.

Pada masa sama, beliau menegaskan KWAP bukan hanya melabur dalam syarikat asing, malah terus menyokong syarikat pemula tempatan serta terlibat dalam inisiatif GEAR-uP yang menyediakan dana sehingga RM30 bilion, termasuk kepada syarikat Bumiputera.

“Saya mohon semua melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan tahunan KWAP melebihi 8.5 peratus,” katanya.

+ - reset