TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Steven Sim tekad percepat kelulusan pembiayaan TEKUN mikro dalam tempoh 24 jam, hapus budaya 'surat sokongan'

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN, 20 Julai – TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM36 juta kepada kira-kira 1,500 usahawan di Negeri Sembilan sehingga Jun tahun ini, dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini menyasarkan proses kelulusan pembiayaan mikro dipercepatkan kepada tempoh hanya 24 jam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, di peringkat nasional, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM540 juta kepada 25,600 usahawan dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program bersama usahawan TEKUN di Seremban yang turut menjadi platform mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pengalaman usahawan memohon, menerima serta membayar balik pembiayaan.

Menurut beliau, TEKUN telah memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan tempatan sepanjang 30 tahun penubuhannya, namun proses penyampaian perkhidmatan perlu terus dipertingkatkan berdasarkan pengalaman sebenar usahawan.

Sehubungan itu, beliau menetapkan sasaran supaya keputusan bagi permohonan pembiayaan TEKUN berjumlah RM100,000 dan ke bawah diberikan dalam tempoh tujuh hari, sama ada diluluskan atau ditolak.

Bagi pembiayaan mikro bernilai RM20,000 dan ke bawah pula, katanya, KUSKOP sedang berusaha memastikan keputusan permohonan dapat diberikan dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata, usaha mempercepatkan proses kelulusan perlu disertai dengan penyaluran dana yang lebih cekap supaya usahawan dapat menggunakan pembiayaan tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Dalam pada itu, Steven Sim menegaskan bahawa permohonan pembiayaan TEKUN tidak memerlukan sebarang sokongan atau pengesahan daripada mana-mana pemimpin politik.

Menurutnya, setiap permohonan perlu dinilai secara profesional dan telus berdasarkan kelayakan pemohon tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.

"Tidak kira usahawan memakai baju biru, hijau atau merah, selagi mereka layak, permohonan mesti diberikan pertimbangan yang adil. Kita mahu menghentikan budaya usahawan terpaksa mencari orang politik atau pihak ketiga untuk mendapatkan surat sokongan," katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan terus memperluaskan akses pembiayaan kepada usahawan daripada semua komuniti, termasuk meningkatkan peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN daripada RM30 juta kepada RM50 juta.

Selain itu, Pakej Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (MUDRA) menyediakan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM220 juta pada tahun ini.

Steven Sim berkata, usaha memperkukuh perusahaan tempatan tidak boleh dilihat dari sudut kaum kerana di peringkat antarabangsa semua perniagaan tempatan bersaing sebagai syarikat Malaysia.

"Jika kita mahu menang di peringkat antarabangsa, kita mesti menang bersama-sama. Jika kita kalah, kita juga akan kalah bersama-sama," katanya.

+ - reset