TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tangki air hotel jatuh dari bumbung, hempap dua kenderaan di Ampang Point

By
|
Kongsi
image

AMPANG JAYA, 19 Julai — Suasana di Jalan Memanda 5, berhampiran pusat beli-belah Ampang Point bertukar gempar apabila sebuah tangki simpanan air di bahagian bumbung sebuah hotel terjatuh lalu menghempap dua buah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan fizikal mahupun kehilangan nyawa.

Siasatan awal pihak polis mendapati struktur tangki penyimpanan air terbabit disyaki telah runtuh dari bahagian atas bangunan sebelum terjatuh betul-betul di atas dua buah motokar yang sedang diparkir di hadapan New Wave Hotel Ampang Point.

"Kedua-dua pemilik kenderaan yang terjejas telah pun tampil membuat laporan polis secara rasmi berhubung insiden berkenaan. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku sepanjang kejadian," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Insiden itu mula mendapat perhatian masyarakat selepas beberapa tangkap layar video memaparkan keadaan bumbung kedua-dua buah kenderaan terbabit yang remuk dan rosak teruk akibat impak hempapan kuat tangki air tersebut tular di platform media sosial.

Mengulas mengenai tindakan susulan, Khairul Anuar menjelaskan bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Report of Accident (ROA) bagi membolehkan para pemilik kenderaan yang terlibat melakukan tuntutan ganti rugi insurans.

Pihak polis pada masa sama masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan tangki simpanan air di atas bumbung premis hotel terbabit boleh terjatuh.

+ - reset