TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki cedera parah, kereta Honda Accord dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah selepas kenderaan jenis Honda Accord yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 10.11 malam. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd. Rohafizam Othman memaklumkan bahawa setibanya pasukan penyelamat di lokasi, mereka mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap kenderaan terbabit yang masih mempunyai seorang mangsa di dalamnya.

Anggota bomba bertindak pantas menjalankan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa daripada remukan kenderaan pada jam 10.47 malam.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki sebelum diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya selepas mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital bagi rawatan kecemasan.

+ - reset