TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Syed Saddiq tamat Larian Kesyukuran 170km di Laman Maharani Muar, dana kebajikan cecah RM361,848

By
|
Kongsi
image

MUAR, 19 Julai — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman berjaya menamatkan misi Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer (km) apabila tiba di garisan penamat di Laman Maharani, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Ketibaan beliau yang memulakan larian hari terakhir sejauh 17 km dari Simpang Sungai Rambai pada jam 7 pagi itu disambut meriah dengan sorakan "Hidup Muar" dan "Tahniah YB" oleh ribuan warga tempatan dan penyokong yang setia menanti sejak awal pagi.

Suasana di Laman Maharani bertukar gamat sebaik kelibat Syed Saddiq yang berpakaian sukan hitam kelihatan melintasi Jambatan Sultan Ismail, Muar dengan diiringi beberapa kumpulan pelari tempatan, termasuk komuniti Muo Runner.

Misi larian solo bersiri tersebut telah bermula sejak 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya dan merentasi dua buah negeri iaitu Negeri Sembilan serta Melaka sebelum berakhir di Johor.

Inisiatif larian berkenaan membawa matlamat dwi-serampang; selain berfungsi sebagai platform kebajikan bagi meraih sumbangan buat komuniti parlimennya, ia juga menjadi simbolik tanda kesyukuran peribadi Syed Saddiq selepas melalui fasa perjuangan undang-undang yang panjang demi membersihkan nama serta maruah diri beliau.

Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan disalurkan sepenuhnya kepada dua program utama di Parlimen Muar, iaitu sumbangan penyediaan bakul makanan buat keluarga miskin serta pembelian peranti iPad bagi membantu pelajar daripada golongan memerlukan akses pembelajaran digital.

Setakat semalam, kempen kutipan dana sempena larian itu dilaporkan telah pun berjaya mengumpul sebanyak RM361,848 dalam tempoh dua hari sahaja, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh beliau iaitu sebanyak RM200,000.

+ - reset