Berita Berita
Rosmah mohon doa rakyat Malaysia, Najib bakal jalani prosedur buang plak pada saluran darah
KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang dikesan berhampiran saluran darah, kata isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Rosmah memaklumkan keluarga mereka amat menghargai keprihatinan serta doa yang dizahirkan oleh sahabat handai, rakan-rakan dan para penyokong Najib susulan keadaan kesihatannya.
Beliau turut memohon orang ramai agar terus mendoakan supaya segala urusan serta prosedur perubatan yang bakal dijalani Najib dipermudahkan dan berjalan lancar.
"Saya amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh sahabat handai, rakan-rakan serta penyokong beliau.
"Dalam saat ini, saya memohon agar semua terus mendoakan semoga segala urusan dan prosedur yang bakal dijalani beliau dipermudahkan, berjalan dengan lancar dan beliau dikurniakan kesihatan serta kekuatan," katanya.
Rosmah turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghubungi keluarga mereka untuk bertanya khabar serta menyampaikan doa dan kata-kata semangat buat Najib.
"Terima kasih atas ingatan, kasih sayang dan doa yang tidak pernah putus. Semoga ALLAH SWT melindungi beliau dan mengurniakan yang terbaik," katanya lagi.
Pada Khamis lalu, Najib dilaporkan mengalami masalah jantung dan dijadual menjalani prosedur berkaitan pada minggu depan.
Najib, 73, kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes melibatkan SRC International.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain mengurangkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada April lalu, Najib turut menarik balik permohonannya untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Berita berkaitan
July 20, 2026, 5:55 pm
UMNO tak pernah serang peribadi dalam PRN, utamakan dasar dan pencapaian BN - Asyraf Wajdi
July 20, 2026, 3:31 pm
PRN Negeri Sembilan: PH kesan perbuatan khianat bendera parti dibakar, pancang dirosakkan
July 20, 2026, 2:41 pm
Tayangan final Piala Dunia kecoh, 12 lelaki ditahan merusuh guna senjata di Johor Bahru
July 20, 2026, 1:51 pm
