TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemain bola sepak B-12 meninggal dunia ketika beraksi dalam kejohanan di Johor

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU, 19 Julai – Seorang pemain bola sepak bawah 12 tahun (B-12) dilaporkan meninggal dunia ketika beraksi dalam sebuah kejohanan bola sepak di Johor pada Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Danish Hizqeel Mohd Hanif, 12, yang merupakan pemain Kelab Bola Sepak Shining Academy.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA) menerusi satu hantaran di Facebook yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada komuniti bola sepak negeri itu.

"Adik Danish Hizqeel telah meninggal dunia semasa sedang bermain kejohanan bola sepak dan merupakan pemain yang berbakat besar.

"Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh komuniti bola sepak negeri Johor dan rakan-rakan seperjuangan di lapangan," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian kanak-kanak berkenaan tidak dinyatakan.

Sementara itu, Shining FC memaklumkan Allahyarham mula mewakili kelab yang berpangkalan di Pasir Gudang itu sejak berusia lapan tahun dan dikenali sebagai seorang pemain yang komited serta disenangi rakan sepasukan.

"Sepanjang bersama kami, arwah dikenali sebagai seorang anak yang bersemangat, rajin berlatih, menghormati jurulatih serta sentiasa membawa senyuman kepada rakan-rakannya.

"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat besar buat seluruh keluarga Shining Academy. Kenangan, semangat dan jasa beliau akan sentiasa terpahat di hati kami," menurut kenyataan tersebut.

Pemergian Danish Hizqeel turut mengundang ucapan takziah daripada warga bola sepak dan orang ramai yang mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta keluarga diberikan ketabahan menghadapi kehilangan itu.

+ - reset