TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Belanjawan 2027: Kerajaan pertimbangkan tambah peruntukan SARA

By
|
Kongsi
image

IPOH 19 Julai – Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menambah jumlah peruntukan bagi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjelang pembentangan Belanjawan 2027 bagi meringankan lagi bebanan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa hasrat tersebut bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada kedudukan serta kekuatan ekonomi semasa negara. Perkara itu juga sudah mula diperincikan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Menurut beliau, pengawasan dan penilaian terhadap keupayaan kewangan negara sentiasa dilakukan secara berkala demi menjamin kecekapan penyaluran bantuan tunai secara bersasar kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

“Bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, saya ingin maklumkan sekiranya keadaan ekonomi mengizinkan, saya telah bincang semalam petang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sama ada kita boleh tambah bantuan SARA.

“Dalam Belanjawan akan datang, saya akan pertimbangkan bagaimana kita boleh tambah peruntukan untuk membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Kita Memaknai Harapan Rakyat bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan di sini, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, komitmen pentadbirannya tetap utuh dalam memastikan jaringan keselamatan sosial dan kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan, terutamanya ketika mendepani tekanan inflasi serta kos sara hidup domestik.

Selain daripada skim bantuan tunai, beliau turut mengumumkan rancangan proaktif kerajaan untuk terus memperkasakan program Jualan Rahmah ke segenap kawasan termasuk ke peringkat komuniti desa.

“Kita kemaskan Jualan Rahmah. Nanti saya baru umum tambah dan bina perancangan untuk kampung-kampung kita tambah Jualan Rahmah supaya kos lebih rendah,” tambah beliau lagi.

+ - reset