Berita Berita
Undur jawatan jika mahu serang Kerajaan Persekutuan ketika kempen PRN - Anwar
IPOH 19 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran tegas kepada mana-mana individu yang memegang jawatan dalam kerajaan agar menjaga disiplin dan tidak menyerang Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau menegaskan, sekiranya ada menteri, timbalan menteri, atau pengerusi agensi kerajaan yang memilih untuk berbuat demikian, mereka seharusnya meletakkan jawatan serta-merta. Tindakan tidak berdisiplin itu hanya akan mencetuskan sebuah 'medan politik yang parah'.
“Kita tahu ada parti yang sama di peringkat Persekutuan tapi ada pertarungan di peringkat negeri... tidak apa, dalam sistem demokrasi itu dibolehkan dan masing-masing boleh buat tafsiran.
“Kita ingatkan calon-calon terutama yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri ataupun pemegang mana-mana agensi, dia boleh bertarung dalam isu-isu negeri... kalau dia pilih nak buat begitu (menyerang pentadbiran Persekutuan), dia harus undur daripada jawatan dia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selesai menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan bahawa ketegasan tersebut telah pun dibincangkan bersama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Langkah ini penting bagi memastikan semua parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan dapat mengawal hubungan baik mereka di peringkat Persekutuan mahupun negeri, sekali gus menjamin kelancaran gerak kerja untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Setakat ini, kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di peringkat Persekutuan dan mungkin negeri menjadi lebih erat, kekal baik supaya kerja boleh dijalankan, dan biarlah kita kawal kalau ada pertarungan pun di peringkat negeri,” tambah beliau.
Berita berkaitan
July 20, 2026, 5:55 pm
UMNO tak pernah serang peribadi dalam PRN, utamakan dasar dan pencapaian BN - Asyraf Wajdi
July 20, 2026, 3:31 pm
PRN Negeri Sembilan: PH kesan perbuatan khianat bendera parti dibakar, pancang dirosakkan
July 20, 2026, 2:41 pm
Tayangan final Piala Dunia kecoh, 12 lelaki ditahan merusuh guna senjata di Johor Bahru
July 20, 2026, 1:51 pm
