Berita Berita
Khairul Aming tuntut penjelasan Maxis, persoal bagaimana data peribadinya boleh bocor
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming meluahkan kebimbangan selepas mendakwa maklumat berkaitan bil telefon peribadinya didedahkan kepada umum oleh individu tidak dikenali, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan data pelanggan.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads pada Isnin, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming (KA) meminta penjelasan daripada syarikat telekomunikasi Maxis mengenai bagaimana maklumat akaun telefon miliknya boleh tersebar.
"Mohon penjelasan daripada Maxis macam mana personal phone bill saya boleh leak (bocor)," tulisnya.
Perkongsian itu dibuat selepas seorang pengguna media sosial mendakwa mengetahui jumlah tunggakan bil telefon milik KA, selain mendedahkan butiran berkaitan status akaunnya.
Pengguna terbabit mendakwa akaun telefon KA mempunyai tunggakan sebanyak RM498 dan turut mengulas mengenai penggunaan kredit prabayar serta pembelian digital pada akaun tersebut.
"Teringin nak bagitahu KA dia ada overdue bil RM498. Agak-agak dia perasan ke tak tu banyak sangat akaun kan. Nanti line kena barred.
"Jumlah RM2,000 jika bayar untuk setahun pun, kalau ada add on digital purchase sampai RM400 lebih memang tak cukup la," tulis pengguna berkenaan.
Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan jumlah tunggakan itu bukan isu utama kerana beliau sememangnya membuat bayaran lebih awal bagi beberapa bulan.
"Tak perlu beritahu sebab ini hal peribadi saya. Saya memang bayar bil in advance untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan dah drained balance.
"Tapi yang jadi creepy macam mana awak boleh tahu info bil Maxis saya ni sampai post ke public? Ini personal data saya," katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan kemungkinan berlaku kebocoran maklumat pelanggan sekiranya dakwaan tersebut benar.
Antara komen yang ditinggalkan pengguna media sosial ialah gesaan supaya isu berkenaan disiasat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), selain menyifatkan pendedahan maklumat pelanggan sebagai pelanggaran serius terhadap privasi.
Setakat ini, Maxis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Khairul Aming.
Berita berkaitan
July 21, 2026, 2:46 pm
Tamim Dahari mengaku tidak bersalah rosakkan simbol keagamaan penganut Hindu di Langkawi
July 21, 2026, 2:42 pm
PAS desak Anwar letak jawatan, Pengerusi KWAP direhatkan susulan kerugian pelaburan eFishery
July 21, 2026, 2:36 pm
Dua lelaki ditahan belasah lelaki cederakan hidung, mata dan kepala di Flat Sri Pulau Pinang
July 21, 2026, 2:27 pm
Tiada keperluan letak jawatan, kuasa pelantikan hak mutlak PM- Ahmad Zahid
July 21, 2026, 2:20 pm
Cubaan seludup ganja RM19.82 juta gagal, 4 lelaki termasuk 3 wanita dicekup di KLIA
July 21, 2026, 1:49 pm
