Berita Berita
Penyewa dari 'neraka' tinggalkan 60 kucing dalam rumah sewa, 30 ditemuikan mati kebuluran di Gombak
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kira-kira 30 bangkai kucing ditemukan dalam sebuah rumah sewa di Gombak pada Jun lalu, manakala 30 lagi berjaya diselamatkan dalam keadaan kurus dan lemah selepas dipercayai ditinggalkan oleh penyewa.
Operasi menyelamat dilakukan pencinta haiwan, Nor Izwan Asli, 43, bersama isterinya, Ernani Hamis, 41, selepas menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat bau busuk yang kuat dari rumah teres berkenaan.
Menurut Nor Izwan, pemilik rumah kemudian dihubungi untuk membuka pintu kediaman itu sebelum mereka dikejutkan dengan keadaan menyayat hati di dalam rumah tersebut.
"Keadaan di dalam rumah sangat teruk. Bangkai kucing bertaburan di merata tempat, lantai dipenuhi darah dan kutu.
"Banyak kucing mati di dalam sangkar. Lebih menyedihkan, terdapat kucing bunting serta anak-anak kucing yang turut ditemukan mati," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau berkata, kira-kira 30 ekor kucing yang masih hidup ditemui dalam keadaan terlalu kurus dan lemah, dipercayai akibat tidak diberi makanan dalam tempoh yang lama.
"Saya dimaklumkan mereka dipercayai meninggalkan rumah kerana tidak lagi mampu membayar sewa sejak tiga bulan lalu.
"Selepas berbincang dengan isteri, kami membuat keputusan membawa pulang semua kucing yang masih hidup untuk diberikan rawatan dan penjagaan.
"Kami bukan orang senang, tetapi tidak sampai hati melihat keadaan haiwan-haiwan itu," katanya.
Menurutnya, semua bangkai kucing yang ditemukan telah dikumpulkan dan ditanam, manakala haiwan yang terselamat kini menerima rawatan serta penjagaan.
"Semua bangkai kucing kami kumpulkan dan ditanam, manakala haiwan yang lain akan dirawat.
"Kami akan buat yang terbaik untuk kucing-kucing yang masih hidup ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Nor Izwan turut menasihatkan pemilik rumah supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan lebih berhati-hati ketika memilih penyewa pada masa hadapan.
Beliau juga mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi membantu menampung kos rawatan, makanan dan penjagaan kucing-kucing yang berjaya diselamatkan.
Berita berkaitan
July 21, 2026, 2:46 pm
Tamim Dahari mengaku tidak bersalah rosakkan simbol keagamaan penganut Hindu di Langkawi
July 21, 2026, 2:42 pm
PAS desak Anwar letak jawatan, Pengerusi KWAP direhatkan susulan kerugian pelaburan eFishery
July 21, 2026, 2:36 pm
Dua lelaki ditahan belasah lelaki cederakan hidung, mata dan kepala di Flat Sri Pulau Pinang
July 21, 2026, 2:27 pm
Tiada keperluan letak jawatan, kuasa pelantikan hak mutlak PM- Ahmad Zahid
July 21, 2026, 2:20 pm
Cubaan seludup ganja RM19.82 juta gagal, 4 lelaki termasuk 3 wanita dicekup di KLIA
July 21, 2026, 1:49 pm
