Berita Berita
'Saya tak nak kaya, hanya mahu pertahan tanah adat' - Penduduk Orang Asli Sungai Cot tolak tawaran penempatan Tunku Azizah
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Seorang penduduk Orang Asli Kampung Sungai Cot menolak dengan hormat tawaran penempatan semula sementara yang dikemukakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sambil menegaskan komuniti itu hanya mahu hak terhadap tanah adat mereka dikekalkan.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, Juliana Jazlin Ismail, 34, berkata keputusan itu dibuat kerana beliau mahu mempertahankan tanah adat Kampung Sungai Cot yang menjadi tempat tinggal komuniti Orang Asli sejak sekian lama.
"Saya nak tanah adat saya saja, dekat Kampung Cot, dengan Orang Asli yang ada dekat Malaysia, saya nak tu je," katanya.
Juliana bagaimanapun menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Tunku Azizah dan berharap dapat bertemu baginda untuk menyerahkan cenderahati berupa hasil kraf tangan yang dihasilkannya sendiri.
Beliau turut memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pertikaian tanah yang dihadapi komuniti berkenaan.
Sebelum ini, Tunku Azizah menawarkan penempatan sementara kepada keluarga Orang Asli Kampung Sungai Cot di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Zahari Yahya berkata, baginda turut memberi jaminan bahawa kebajikan mereka akan dijaga dan mereka tidak akan dipinggirkan.
Menurut beliau, tawaran itu juga terbuka kepada keluarga Orang Asli lain yang memerlukan tempat tinggal atau penempatan baharu, tertakluk kepada perkenan diraja dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) berpandangan bahawa penempatan semula tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada pertikaian tanah adat yang dihadapi komuniti tersebut.
Dalam kenyataan bersama, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata, pihaknya menghormati keprihatinan Tunku Azizah, namun menegaskan isu utama ialah pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli.
"Keprihatinan pihak istana tidak dipersoalkan. Tetapi belas kasihan yang diterjemahkan kepada penempatan semula, dan bukannya pengiktirafan, berisiko memberi akibat sama dari penggusuran jentolak: menyingkirkan Orang Asli dari tanah yang menjadi milik mereka mengikut undang-undang, mengikut sejarah, dan mengikut hak.
"Orang Asli Kampung Sungai Cot tidak meminta tempat tinggal baru. Mereka meminta untuk mengekalkan tanah yang mereka miliki," katanya.
Menurut mereka, pelbagai keputusan mahkamah sebelum ini telah mengiktiraf hak Orang Asli terhadap tanah adat dan tanah nenek moyang mereka, namun kegagalan kerajaan negeri melaksanakan pengiktirafan tersebut menjadi punca pertikaian terus berlarutan.
PEKA turut menggesa Majlis Diraja Pahang menggunakan pengaruh moral bagi membantu proses pewartaan dan pengiktirafan undang-undang terhadap tanah adat Kampung Sungai Cot.
Selain itu, NGO berkenaan menggesa kerajaan Pahang menghentikan sebarang tindakan perobohan atau pengusiran di kampung tersebut sehingga tuntutan tanah adat diselesaikan melalui pewartaan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954.
Pada masa sama, kerajaan Persekutuan turut digesa melaksanakan pembaharuan berkaitan hak tanah adat bagi memperkukuh perlindungan terhadap komuniti Orang Asli di seluruh negara.
Pada 17 Julai lalu, Juliana bersama anak perempuannya yang berusia tujuh tahun berjalan kaki selama dua hari dari Kampung Sungai Cot sebelum tiba di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang bagi menyerahkan memorandum berhubung pertikaian tanah yang didakwa berlarutan sejak 2015.
Penduduk kampung bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa tanah pusaka mereka telah dijual kepada pemaju, manakala beberapa kediaman turut dirobohkan ketika kerja pembersihan kawasan dan pembalakan dijalankan. Mereka juga mendakwa keluarga yang terjejas tidak diberikan perlindungan sementara selepas kehilangan tempat tinggal.
Berita berkaitan
July 21, 2026, 2:46 pm
Tamim Dahari mengaku tidak bersalah rosakkan simbol keagamaan penganut Hindu di Langkawi
July 21, 2026, 2:42 pm
PAS desak Anwar letak jawatan, Pengerusi KWAP direhatkan susulan kerugian pelaburan eFishery
July 21, 2026, 2:36 pm
Dua lelaki ditahan belasah lelaki cederakan hidung, mata dan kepala di Flat Sri Pulau Pinang
July 21, 2026, 2:27 pm
Tiada keperluan letak jawatan, kuasa pelantikan hak mutlak PM- Ahmad Zahid
July 21, 2026, 2:20 pm
Cubaan seludup ganja RM19.82 juta gagal, 4 lelaki termasuk 3 wanita dicekup di KLIA
July 21, 2026, 1:49 pm
