TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

101 pelajar nyaris rentung, asrama lelaki SMA Tarbiah Diniah terbakar awal pagi

By
|
Kongsi
image

 

KULIM, 21 Julai – Bangunan asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah di Jalan Pegawai di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun kesemua 101 pelajar lelaki yang menghuni asrama berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

Dalam kejadian itu, kebakaran membabitkan tingkat atas bangunan asrama dua tingkat berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Abdul Mois Ahmad Mansur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.47 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota dari BBP Kulim bersama bantuan BBP Kulim Hi-Tech tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan Kulim.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan talian terus ke balai memaklumkan terdapat kebakaran sekolah.

 "Berikutan itu, dua pasukan iaitu dari BBP Kulim dan Kulim Hi-Tech dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan penyelamatan dan memadam kebakaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Mois berkata, setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan asrama lelaki dua tingkat dan memusnahkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan struktur tingkat atas bangunan.

Beliau berkata, kebakaran itu tidak membabitkan sebarang mangsa kerana semua pelajar lelaki di asrama terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri.

"Selain itu, kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan sumber air yang diperoleh dari tangki PBS.

"Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.09 pagi tadi dan kerja-kerja 'overhaul' dilakukan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang," katanya.

Menurut beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Difahamkan, pelajar lelaki yang terlibat dalam kejadian itu terdiri daripada pelajar tingkatan Dua, Tiga, Empat dan Enam.

+ - reset