TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes dadah di Kelantan turun 13 peratus, nilai rampasan meningkat kepada RM15.6 juta

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU, 21 Julai – Polis Kelantan merekodkan penurunan 13 peratus kes narkotik bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, namun nilai rampasan dadah meningkat kepada RM15.6 juta, sekali gus mencerminkan keberkesanan penguatkuasaan dalam mengekang aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 12,051 kes narkotik direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah tangkapan turut menurun 10 peratus kepada 13,182 orang berbanding 14,640 tangkapan yang direkodkan sebelum ini.

"Namun, dari segi nilai rampasan dadah, kita mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus dengan jumlah rampasan mencecah RM15.6 juta berbanding RM13.3 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dijalankan semakin berkesan dalam mengekang aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata statistik jenayah indeks di Kelantan turut menunjukkan trend penurunan apabila mencatatkan 891 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 964 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 73 kes.

Menurut beliau, penurunan itu melibatkan kedua-dua kategori jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

"Pencapaian ini membuktikan bahawa strategi, komitmen dan tindakan berterusan yang dilaksanakan berada di landasan yang tepat.

"Secara pecahan, jenayah kekerasan turut menurun daripada 246 kes kepada 202 kes, iaitu penurunan sebanyak 44 kes, manakala jenayah harta benda mencatatkan penurunan daripada 718 kes kepada 689 kes.

"Penurunan ini bukanlah alasan untuk kita berasa selesa, sebaliknya menjadi pemangkin untuk kita terus mempertingkatkan usaha kerana apa yang kita perjuangkan bukan sekadar penurunan angka, tetapi keselamatan, kesejahteraan dan keyakinan masyarakat terhadap PDRM," katanya.

+ - reset