TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'PH pun ada pemimpin Melayu-Islam' - Fahmi tegur KJ jangan keterlaluan

By
|
Kongsi
image

 

JEMPOL, 21 Julai – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil mendakwa kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai isu Melayu dan Islam lebih bertujuan mengembalikan relevansi politik selepas kembali menyertai UMNO.

Menurut beliau, Khairy yang telah lama meninggalkan UMNO kini dilihat sedang berusaha membina semula kedudukan politiknya dalam parti itu.

"Dia keluar (UMNO) agak lama dan mahu memulakan semula asas politiknya.

"Jadi, dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dirasakan perlu supaya keberadaannya dapat dilihat oleh orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2 bersama calon PH, G. Manivanan, pada Isnin.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dilaporkan berkata keputusan Barisan Nasional (BN) menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan satu isyarat kepada PH.

Menurut Khairy, sebahagian ahli UMNO berpandangan kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap sensitiviti masyarakat Melayu selain gagal menunaikan beberapa janji yang pernah dibuat.

Mengulas perkara itu, Fahmi turut menolak dakwaan bahawa PH tidak mempunyai pemimpin Melayu-Islam yang memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa.

Beliau menegaskan ramai pemimpin utama PH terdiri daripada tokoh Melayu-Islam yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan parti.

"Anwar Ibrahim itu bukan Melayu-Islam? Mohamad Sabu bukan Melayu-Islam? Dzulkefly Ahmad bukan Melayu-Islam? Amirudin Shari, Aminuddin Harun bukan Melayu-Islam?

"Saya rasa hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap perkara yang kita katakan sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat," katanya.

Fahmi turut menasihati Khairy supaya tidak keterlaluan dalam mengemukakan pandangan sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah tiada pemimpin Melayu-Islam dalam Pakatan Harapan yang memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa.

+ - reset