TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Anjing diseret kereta sebelum lari, penduduk rayu bantuan cari haiwan cedera

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 JULAI - Rasa marah dan terkilan menyelubungi penduduk di kawasan perumahan Taman Ria, Johor, selepas berlaku insiden langgar lari yang melibatkan seekor anjing kawasan berkenaan. 

Kecewa dengan tindakan pemandu yang disifatkan langsung tidak berperikemanusiaan, seorang pengguna media sosial tampil menyuarakan keprihatinan serta penderitaan dialami haiwan tersebut menerusi satu hantaran tular.

Menurut perkongsian berkenaan, kejadian tragis itu berlaku berhampiran kawasan yang kerap menjadi tumpuan kanak-kanak bermain. 

Insiden berlaku sewaktu seorang warga emas yang biasa memberi makan kepada anjing-anjing di taman tersebut sedang menyediakan makanan. 
Kereta terbabit didakwa melanggar haiwan berkenaan sebelum meneruskan perjalanan sehingga menyebabkan anjing itu tersangkut pada tayar belakang dan diseret sejauh 10 hingga 20 meter.

Meskipun wanita berkenaan sudah menjerit meminta pemandu berhenti, kenderaan tersebut terus memecut meninggalkan lokasi kejadian seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Tindakan mementingkan diri itu mengundang kemarahan penduduk setempat yang bimbang akan keselamatan kawasan perumahan mereka, terutama memandangkan risiko serupa boleh berlaku ke atas kanak-kanak yang kerap bermain di sepanjang jalan.

Susulan insiden terbabit, laporan rasmi telah dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk tindakan lanjut. 

Bagaimanapun, nasib haiwan berkenaan masih menjadi tanda tanya selepas ia didapati hilang dari kawasan perumahan seawal pagi berikutan kejadian itu.

Penduduk yang prihatin kini sedang giat menjalankan usaha pencarian di sekitar kawasan Taman Riadan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau terjumpa anjing berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat segera. 

+ - reset