Berita Berita
Makin serius, hampir tiada kampung di Kelantan bebas masalah dadah - Saifuddin
BUKIT KAYU HITAM 30 Julai – Arahan Polis Kelantan supaya setiap ketua balai menahan sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari disifatkan sebagai langkah wajar bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah yang serius di negeri itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, tindakan yang diperkenalkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat itu dibuat berdasarkan situasi semasa apabila negeri berkenaan terus merekodkan jumlah kes penyalahgunaan dadah yang tinggi.
Menurutnya, selain Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu turut berdepan cabaran besar dalam membanteras penyalahgunaan dadah, namun keadaan di Kelantan memerlukan pendekatan lebih agresif.
"Hampir tiada kampung di Kelantan yang terlepas daripada masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang adalah antara jajahan yang merekodkan jumlah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang pada tahap serius.
"Antara penjara paling sesak di Malaysia ialah Penjara Pengkalan Chepa. Daripada setiap 100 penghuni di situ, 75 daripadanya terbabit dengan kesalahan dadah.
"Begitu juga Penjara Machang yang menjadi penjara sabitan, apabila 95 daripada setiap 100 penghuninya membabitkan kesalahan berkaitan dadah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Bukit Tangga di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Sultan Badlishah.
Saifuddin berkata, kebanyakan penghuni kedua-dua penjara berkenaan disabitkan atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan serta memiliki dadah dalam kuantiti tertentu.
Mengulas kemungkinan pendekatan sama diperluaskan ke negeri lain, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
"Sama ada kaedah sama akan digunakan di negeri lain, saya serahkan kepada JSJN Bukit Aman untuk membuat keputusan kerana mereka mempunyai proses pemetaan, profiling dan maklumat lengkap mengenai situasi dadah di setiap negeri," katanya.
Baru-baru ini, Polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu bagi mengekang pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan menetapkan setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mana-mana pegawai atau anggota yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan akan dikenakan tindakan.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
'Tegur saya boleh, tapi jangan hina Kerajaan Madani' - Anwar
July 30, 2026, 6:05 pm
Anwar sahkan sidang khas Parlimen RCI Tabung Haji pada 11 Ogos
July 30, 2026, 2:53 pm
