TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tegur saya boleh, tapi jangan hina Kerajaan Madani' - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA PILAH 31 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat terus menegur dan menasihatinya sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran, namun meminta supaya tidak menghina atau menafikan usaha yang telah dilaksanakan Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka menerima teguran dan mengakui setiap pentadbiran mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Tegurlah saya, nasihatlah saya, tapi jangan hina sehingga mengatakan kita tidak buat apa-apa.

"Umur saya sudah lanjut, tua dan saya bersyukur Alhamdulillah kerana masih sihat serta diberi ruang untuk berkhidmat sedaya upaya.

"Kalau ada kelemahan yang semestinya ada, berilah teguran," katanya ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan perlu diberikan peluang untuk membetulkan kecuaian dan kelemahan yang berlaku sebelum ini.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited memperbaiki pelbagai kelemahan, khususnya dalam usaha mengangkat martabat orang Melayu yang memerlukan pembelaan, selain memartabatkan Islam melalui amal dan tindakan.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus berusaha mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter membuktikan komitmen kerajaan membantu rakyat walaupun kerajaan menanggung subsidi bahan api berjumlah kira-kira RM40 bilion setahun.

"Jadi, tiap kali isi minyak ingat bahawa kerajaan terpaksa tampung, tak mahu bebankan rakyat... kos barang import tinggi dan kos sara hidup tinggi.

"Sedaya upaya saya, kerajaan kita turunkan dan kurangkan beban dalam keadaan sekarang," katanya.

+ - reset