Berita Berita
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
BUKIT KAYU HITAM 31 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan menjalankan tapisan terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan menghantar pulang 5,000 warga Myanmar yang dipersetujui kerajaan negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil susulan persetujuan kerajaan Myanmar untuk menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia.
Beliau berkata, proses berkenaan dilaksanakan menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23, dengan KDN bertindak sebagai agensi peneraju bersama beberapa agensi berkaitan.
"Proses DPP melibatkan beberapa peringkat termasuk mengesan, mengenal pasti, menjalankan tapisan keselamatan serta menentukan status setiap individu sebelum dokumen pengesahan status dikeluarkan.
"Tapisan akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia. Pada akhir proses itu, seseorang individu akan diberikan keputusan mengenai status pelariannya dan dokumen akan dikeluarkan bagi mengesahkan status tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat Kedah Sejahtera yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di FELDA Bukit Tangga.
Saifuddin berkata, komitmen awal yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar adalah menerima semula 5,000 rakyatnya, namun proses mengenal pasti individu yang layak perlu dilakukan secara teratur bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 22,000 penghuni di 19 depot imigresen di seluruh negara, dengan sekitar 4,000 daripadanya dikenal pasti sebagai warga Myanmar.
"Daripada jumlah itu, kita telah mengenal pasti 4,000 orang dari Myanmar. Mereka inilah yang akan menjalani proses tapisan dan ditempatkan di satu depot, bukannya berselerak di 19 depot, bagi memudahkan proses yang sedang dijalankan," katanya.
Menurut beliau, penempatan di satu lokasi khusus bertujuan melancarkan urusan dokumentasi, semakan keselamatan serta penyelarasan antara semua agensi yang terbabit.
Saifuddin berkata, proses berkenaan kini sedang dilaksanakan dan bukan lagi di peringkat perancangan, manakala rundingan lanjut dengan kerajaan Myanmar selepas proses tapisan selesai akan diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua negara.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 8:31 am
