TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar lancar ibu pejabat baharu Maybank, Menara Merdeka simbol era baharu institusi kewangan negara

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pelancaran ibu pejabat baharu Maybank, Menara Merdeka Maybank yang menjadi mercu tanda baharu perjalanan institusi kewangan terbesar tempatan itu selepas 66 tahun berkhidmat kepada negara.

Menara Merdeka Maybank dibangunkan sebagai pusat penyatuan fungsi korporat kumpulan di bawah satu bumbung, sekali gus memperkukuh usaha Maybank dalam meningkatkan kerjasama, inovasi serta kecemerlangan operasi bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang semakin hampir, Maybank menyifatkan penggunaan nama “Merdeka” pada ibu pejabat baharunya sebagai simbol hubungan erat institusi itu dengan perjalanan pembangunan negara.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, Menara Merdeka Maybank bukan sekadar sebuah bangunan baharu, tetapi melambangkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap institusi itu sejak beberapa generasi.

“Ia melambangkan kepercayaan yang diberikan oleh generasi rakyat Malaysia kepada kami serta tanggungjawab yang kami pikul untuk menyokong kemajuan ekonomi negara,” katanya.

Ditubuhkan pada 1960, Maybank kini berkembang sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan serantau yang memberi perkhidmatan kepada lebih 17 juta pelanggan di 18 pasaran.

Selain peranan dalam sektor perbankan, Maybank turut memberi tumpuan terhadap usaha memperluas keterangkuman kewangan, memperkasakan usahawan serta menyokong pembangunan komuniti melalui pelbagai inisiatif sosial.

Maybank telah menyalurkan RM76.02 bilion menerusi inisiatif pembiayaan sosial dan pemerkasaan sosial sepanjang lebih sedekad, memberi manfaat kepada lebih 5.76 juta individu di seluruh rantau ini.

Menurut beliau, Maybank akan terus berpegang kepada nilai terasnya dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih inklusif, memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), meningkatkan literasi kewangan serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.

Beliau berkata, komitmen berterusan Maybank terhadap nilai tersebut turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dinamakan sebagai ‘World’s Best Bank for Corporate Responsibility’ selain diiktiraf sebagai ‘Malaysia’s Best Bank’ oleh Euromoney.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian, tetapi menjadi bukti bahawa kejayaan yang mampan lahir daripada nilai yang kukuh, tadbir urus yang baik serta komitmen berterusan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,  Pengerusi Pemodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pelancaran ibu pejabat baharu itu menandakan satu lembaran baharu dalam usaha kumpulan membina organisasi yang bersedia menghadapi masa depan.

“Ia mencerminkan evolusi berterusan kami dalam memperkukuh kepimpinan serantau dan memberikan nilai lebih besar kepada pelanggan, komuniti serta pihak berkepentingan,” katanya.

Langkah berkenaan selari dengan strategi ROAR30 kumpulan yang memberi fokus kepada pengalaman pelanggan lebih baik, penyelesaian digital lebih mudah serta sokongan berterusan terhadap pertumbuhan ekonomi sebenar.

+ - reset