Berita Berita
Polis sahkan dadah 25kg dibawa juruterbang terlepas di KLIA, unsur wujud 'counter setting' dalam siasatan
SHAH ALAM 4 Ogos – Polis telah mengenal pasti seorang kakitangan beruniform yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan berhubung bagaimana dadah yang dibawa seorang pembantu juruterbang berjaya melepasi tapisan keselamatan lapangan terbang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kakitangan berusia lingkungan 30-an itu terlibat dalam proses saringan keselamatan di KLIA.
Menurut beliau, individu terbabit akan dipanggil untuk dirakam percakapan dan tidak menolak kemungkinan ditahan sekiranya siasatan mendapati terdapat keperluan.
“Sehingga kini kita sudah mengenal pasti seorang dan kita akan menghubunginya untuk disoal siasat, kalau ada keperluan, kita akan buat tangkapan. Iaitu kakitangan di lapangan terbang yang terlibat dalam saringan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.
Hussein berkata, suspek melalui laluan khas kakitangan yang menggunakan prosedur pemeriksaan sama seperti penumpang biasa.
Beliau menjelaskan, suspek berjaya melepasi saringan keselamatan peringkat pertama menyebabkan bagasinya tidak perlu menjalani pemeriksaan lanjut.
”Prosedur saringan di KLIA ada beberapa peringkat sehingga tahap keempat. Jadi, kalau melepasi tahap pertama yang dibuat secara automatik melalui sistem pengimbas sedia ada, dia takkan pergi tahap kedua.
“Tetapi, kalau di tahap pertama dapat mengesan sesuatu yang mencurigakan dalam pemeriksaan pihak berkuasa, dia akan pergi ke tahap ketiga. Dalam kes ini, dia telah melalui dan melepasi saringan pertama. Bila tiada sesuatu yang mencurigakan benda (barangan terlarang) itu akan go through (jalan terus),” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama rapat dengan Polis Republik Indonesia (Polri) bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kaedah pihak berkuasa negara itu mengesan dadah yang dibawa suspek.
“Adakah mereka menggunakan sistem atau pemeriksaan fizikal ataupun kombinasinya. Ataupun mereka turut mendapat maklumat melalui pemeriksaan secara rawak dan sebagainya.
“Kita juga sedang menunggu lampu hijau daripada Polri untuk membenarkan pegawai yang akan dihantar ke sana bagi menemuduga (mengambil keterangan) daripada suspek terbabit,” tambahnya.
Menurut Hussein, siasatan turut meneliti pergerakan suspek pada hari kejadian yang didapati terlebih dahulu terbang dari KLIA ke Kota Kinabalu sebelum kembali semula ke KLIA dan meneruskan penerbangan ke Jakarta.
Beliau berkata, polis percaya suspek memperoleh bekalan dadah dari sebuah apartmen di Ampang dua hari sebelum ditahan dan pihaknya kini sedang meneliti keseluruhan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.
“Polis sedang melihat keseluruhan spektrum pengedaran dadah tersebut, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah dari sebuah kawasan apartment di Ampang (dua hari sebelum ditahan). Kita pun sudah mendapat nombor telefon yang dihubungi (oleh suspek).
“Antara perkara yang kita bincang semalam dengan Kementerian Pengangkutan, kita semua bersetuju ada keperluan bagi memperketatkan lagi atau tambah baik prosedur pemeriksaan di KLIA,” ujarnya.
Terdahulu, pembantu juruterbang Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas pihak Kastam Indonesia menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasiseberat 25.19 kilogram, selain sejumlah kecil syabu dalam bagasinya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X. Suspek kini berdepan hukuman berat mengikut undang-undang dadah Indonesia jika disabitkan kesalahan.
Berita berkaitan
August 4, 2026, 9:20 pm
Tiga beranak hilang sejak 20 Julai, bapa bimbang keselamatan anak, menantu dan cucu
August 4, 2026, 5:47 pm
Sanusi hantar LOD kepada Kor Ming, 2 lagi isu putar belit kenyataan sejarah
August 4, 2026, 5:42 pm
Amirudin mohon maaf isu petugas pengiring didakwa tengking pengguna jalan raya
August 4, 2026, 5:31 pm
Lagi rakyat Malaysia ditahan di Surabaya seludup dadah ke Indonesia
August 4, 2026, 3:17 pm
Pegawai bomba didakwa terima rasuah RM11,500 di Mahkamah Sesyen Alor Setar
August 4, 2026, 1:49 pm
Rampasan dadah di KLIA melonjak enam kali ganda kepada 1.3 tan
August 4, 2026, 12:33 pm
DBKL sita 323 basikal sewa tanpa lesen di Taman Tasik Titiwangsa
August 4, 2026, 12:16 pm
