Berita Berita
Tiga beranak hilang sejak 20 Julai, bapa bimbang keselamatan anak, menantu dan cucu
BUKIT KAYU HITAM 4 Ogos – Seorang warga emas tampil membuat laporan polis selepas mendakwa anak perempuan, menantu dan cucunya hilang serta gagal dihubungi sejak 20 Julai lalu.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada Isnin selepas beliau bimbang terhadap keselamatan ketiga-tiga ahli keluarganya yang tidak dapat dikesan.
Mereka yang dilaporkan hilang ialah Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, suaminya, Khairul Azhar Ahmad, 39, serta anak mereka, Adid Khairul Azhar, 9, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Changlun.
Berdasarkan laporan polis, pengadu memaklumkan kali terakhir dia berhubung dengan mereka adalah pada 20 Julai sebelum semua usaha menghubungi ketiga-tiga mereka gagal.
Beliau turut menghubungi guru sekolah cucunya dan dimaklumkan kanak-kanak itu juga tidak hadir ke sekolah.
Menurutnya, beberapa cubaan menghubungi telefon bimbit anak perempuan dan menantunya tidak berjaya, sekali gus menimbulkan kebimbangan sesuatu yang tidak diingini berlaku.
"Saya datang membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan mereka," katanya dalam laporan tersebut.
Pengadu turut memaklumkan anak perempuannya menghidap penyakit asma.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan tiga beranak berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka mendapati keluarga itu pulang ke rumah menaiki sebuah kereta pada jam 1.12 pagi sebelum keluar semula kira-kira jam 2.20 pagi pada hari yang sama.
"Kita sedang menjalankan siasatan Orang Hilang. Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tiga beranak ini supaya tampil membantu polis.
“Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di talian 04-917 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Berita berkaitan
August 4, 2026, 5:47 pm
Sanusi hantar LOD kepada Kor Ming, 2 lagi isu putar belit kenyataan sejarah
August 4, 2026, 5:42 pm
Amirudin mohon maaf isu petugas pengiring didakwa tengking pengguna jalan raya
August 4, 2026, 5:31 pm
Lagi rakyat Malaysia ditahan di Surabaya seludup dadah ke Indonesia
August 4, 2026, 3:17 pm
Pegawai bomba didakwa terima rasuah RM11,500 di Mahkamah Sesyen Alor Setar
August 4, 2026, 1:49 pm
Rampasan dadah di KLIA melonjak enam kali ganda kepada 1.3 tan
August 4, 2026, 12:33 pm
DBKL sita 323 basikal sewa tanpa lesen di Taman Tasik Titiwangsa
August 4, 2026, 12:16 pm
