TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RCI Tabung Haji: Bekas pengurus ladang direman bantu siasatan kes seleweng kontrak anak benih RM8 juta

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 4 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah serta penyelewengan kontrak yang dikaitkan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan secara berasingan kira-kira jam 7 malam dan 7.30 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa selepas permohonan dikemukakan SPRM.

Pengarah syarikat reka bentuk itu direman selama dua hari sehingga Rabu, manakala bekas pengurus ladang direman tiga hari sehingga Khamis.

Menurut sumber, pengarah syarikat terbabit disyaki memberi rasuah kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan beberapa projek pengubahsuaian bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2014 dan 2018.

"Suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000," katanya.

Dalam kes berasingan, bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah pula disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada dua syarikat perladangan yang juga merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun membabitkan nilai kira-kira RM8 juta.

Menurut sumber, kesalahan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2015 hingga 2017.

"Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan membabitkan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta," katanya.

Sumber berkata, kedua-dua penahanan itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Beliau berkata, kes membabitkan pengarah syarikat reka bentuk disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, manakala kes melibatkan bekas pengurus ladang disiasat mengikut Seksyen 18 akta yang sama.

+ - reset