TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ops Kutip: Imigresen tahan 93 PATI dalam serbuan di Danau Kota, Pekeliling

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan seramai 93 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Ops Kutip yang dijalankan di sekitar Danau Kota dan Pekeliling pada Selasa.

Operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan susulan aduan serta maklumat orang awam mengenai kebanjiran warga asing di kedua-dua lokasi berkenaan.

Menurut kenyataan JIM pada Rabu, operasi di Danau Kota melibatkan pemeriksaan terhadap 105 warga asing, dengan 40 daripada mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Operasi kemudian diteruskan di kawasan Pekeliling yang menyaksikan pemeriksaan ke atas 93 lagi warga asing sebelum 53 individu ditahan.

"Secara keseluruhannya, operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap 198 warga asing dengan 93 PATI ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen," menurut kenyataan itu.

JIM memaklumkan semua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut jabatan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan selepas pas tamat tempoh, serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah.

Dalam pada itu, JIM merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga operasi tersebut berjaya dilaksanakan.

"Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi PATI dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan ibu negara terus terpelihara," katanya.

+ - reset